JAKARTA, 17 OKT – Perbicaraan kes bunuh membabitkan salah seorang pegawai kanan polis Indonesia bermula hari ini, dilihat sebagai satu ujian kebertanggungjawaban pasukan itu selepas ia dituduh cuba menyembunyikan jenayah tersebut.
Jeneral dua bintang dan ketua hal ehwal polis kebangsaan Indonesia, Ferdy Sambo dinamakan sebagai suspek selepas pengawal peribadinya ditemui mati di kediaman Sambo pada Julai lalu.
Dia dibicarakan kerana mengarahkan orang bawahannya menembak Brigedier Nofriansyah Yosua Hutabarat atau Brigedier J, kemudian dia sekali lagi menembak mangsa yang cedera sehingga mati.
“Defendan Ferdy Sambo mendekati mangsa Nofriansyah Yosua Hutabarat yang terbaring menelungkup dan masih bergerak dalam kesakitan berhampiran tangga bilik air,” kata pendakwa raya Sugeng Hariadi ketika membacakan fakta mahkamah di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan hari ini.
“Kemudian, bagi memastikan dia benar-benar mati, defendan Ferdy Sambo yang memakai sarung tangan hitam, mengambil senjata api dan melepaskan sedas tembakan ke sebelah kiri belakang kepala Nofriansyah,” tambahnya.
Polis pada awalnya dituduh menyembunyikan pembunuhan dilakukan Sambo pada penangkapan bulan Ogos lalu dan dipecat dari pasukan polis pada September. Kes itu menjadi bualan dan tumpuan orang ramai yang kini memfokuskan keputusan perbicaraan, yang menurut pakar adalah skandal terbesar pernah mencengkam pasukan polis.
“Ini bukan sahaja ujian bagi polis, malahan pejabat peguam negara dan mahkamah. Ia adalah ujian ke atas sistem kehakiman kita,” timbalan pengarah kumpulan hak asasi manusia, Imparsial, Ardi Manto Adiputra memberitahu AFP.
Isu kebertanggungjawaban polis kembali memerlukan tindakan segera di Indonesia selepas respons pegawai ke atas pencerobohan padang pada perlawanan bola sepak awal bulan ini yang mencetuskan kejadian rempuhan dan mengakibatkan 132 orang mati.
Insiden itu mencetuskan kemarahan awam, dengan kerajaan mengumumkan satu penyiasatan dan pihak berkuasa kemudiannya mendakwa enam orang – tiga daripadanya pegawai polis – kerana pembabitan mereka dalam kemalangan itu. – AFP