Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jan – Seorang lagi lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, dalam berhubung dengan kematian seorang lelaki tempatan di kawasan Pos Kawalan Kuala Lurah pada 12 Januari.
Yusree bin Haji Ya’akub / Yakub yang merupakan penduduk tetap didakwa bersubahat bersama-sama yang lain atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Haji Aziz bin Haji Johara, 44 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Sharon Yeo memaklumkan Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli bahawa tertuduh diberkas pada 21 Januari pada jam 11:10 malam di Jalan Pasir Berakas.
Timbalan Pendakwa Raya turut memberitahu mahkamah bahawa tertuduh tidak memberikan kerjasama kepada polis namun dinafikan oleh tertuduh.
“Tidak kira apa alasan kamu, kamu perlu memberi kerjasama kepada polis yang menjalankan siasatan,” perintah Ketua Majistret.
Tertuduh kemudian meminta kebenaran mahkamah untuk berjumpa dengan keluarganya untuk mendapatkannya khidmat guaman.
Timbalan Pendakwa Raya bagaimanapun membantah keras untuk tertuduh berjumpa dengan keluarganya buat masa ini namun permintaan tertuduh untuk mendapatkan khidmat guaman boleh dimaklumkan oleh polis kepada keluarganya.
Tertuduh didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 109 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang dibaca bersama Seksyen 304 (1) (b) yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga seumur hidup jika sabit kesalahan.
Ketua Majistret menetapkan 30 Januari untuk sebutan kes dan memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman.
Sementara itu, dua rakan sejenayah tertuduh sudah pun didakwa di mahkamah namun tiada pengakuan direkodkan.