Burger King perkenalkan ‘Veggie Whopper’

LONDON, 12 NOV – Syarikat gergasi makanan segera Amerika Syarikat (AS), Burger King melancarkan burger tanpa daging di Eropah, pada hari ini dengan harapan dapat menembusi sebahagian besar pasaran yang semakin berkembang.

Burger Whopper versi vegetarian akan ditambah ke dalam menu di 25 buah negara dan 2,500 buah restoran selepas percubaan di Amerika Syarikat dan Sweden.

“Ia merupakan pengeluaran terbesar yang pernah dilancarkan di Eropah.

“Kami melihat potensi di masa depan bahawa ini adalah kategori yang semakin meningkat,” presiden syarikat Davis Shear memberitahu AFP.

Sandwic tanpa daging baharu akan dilancarkan di Britain pada masa akan datang, berkemungkinan pada awal tahun hadapan, kata firma itu.

Burger King yang terkenal dengan flame-grilled patties, berkata dengan kemunculan produk baharu tersebut menjadikannya rantaian restoran makanan segera Eropah terbesar yang menghidangkan burger vegetarian.

Syarikat itu berkata produk vegetarian telah meningkatkan jualan burger tradisional di AS, kerana ia menarik pelanggan baharu yang kebiasaannya tidak mengunjungi kedai-kedai makanan segera.

Walau bagaimanapun, beberapa pengkritik menyatakan bahawa jika tempat grill yang sama digunakan untuk memasak produk daging dan ayam, vegetarian berkemungkinan akan menolak tawaran tersebut. – AFP

Gambar fail menunjukkan Burger King di Redwood City. Burger King telah memperkenalkan burger ‘vegetarian’ di Eropah. -AP