Burgoon ungguli pusingan pertama

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Pemain Amerika Syarikat (AS), Bronson Burgoon beraksi cemerlang pada penampilan sulung di Kejohanan Golf CIMB Classic 2018 apabila melakarkan sembilan bawah par 63 untuk mendahului saingan pusingan pembukaan di TPC Kuala Lumpur di Bukit Kiara di sini, hari ini.

Pemain berusia 31 tahun itu membenam lapan birdie dan satu bogey selain meraih satu eagle di lubang ke-18 par lima untuk mengatasi pencabar terdekat dan rakan senegara, Austin Cook, dengan kelebihan satu pukulan.

Tiga lagi pemain iaitu Scott Piercy dan Billiy Horschel, kedua-dua dari AS dan pemain Taiwan, C.T. Pan, mencatatkan tujuh bawah par 65 untuk berkongsi kedudukan tangga ketiga.

Dalam pada itu, pemain nombor empat dunia dan bekas juara dua kali, Justin Thomas, dari AS berkongsi kedudukan keenam dengan tujuh pemain lain selepas merekodkan enam bawah par 66.

Juara bertahan, Pat Perez dari AS, hanya mampu melakukan catatan dua bawah par 70 untuk berkongsi kedudukan ke-35 bersama 12 lagi pemain.

Dalam pada itu, Burgoon menyifatkan pukulan eagle dari bunker telah menyuntik semangat untuk beliau meneruskan aksi secara konsisten serta pukulan putt yang kemas menjadi kunci kejayaan untuk mencatatkan catatan terendah pada saingan pusingan pembukaan.

“Ini adalah permulaan yang baik sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Cook, yang juga membuat penampilan sulung pada kejohanan bernilai AS$7 juta itu, berkata memiliki kelebihan empat pukulan pada sembilan lubang pertama merupakan satu permulaan hebat dan berharap untuk mengekalkan momentum itu sepanjang kejohanan.

Dalam pada itu, wakil Malaysia, Ben Leong berada dalam kelompok 20 pemain terbaik dengan catatan empat bawah par 68 manakala seorang lagi wakil negara itu, Jeremiah Kim berkongsi kedudukan ke-75 dengan dua lagi pemain dengan catatan empat di atas par 76. – Bernama