KUALA LUMPUR, 1 Mac – Bursa Malaysia Bhd menjangkakan 2017 merupakan satu lagi tahun yang mencabar, dengan prospek pertumbuhan dan perdagangan global yang masih tidak menentu.
Pengerusinya Tan Sri Amirsham A Aziz bagaimanapun berkata bursa tempatan mampu menarik keyakinan berdasarkan hakikat ia mencatat kemajuan dalam fasa pelan tindakan strategik seterusnya.
“Keseluruhan organisasi komited untuk menyesuaikan diri ketika keadaan yang tidak menentu pada masa ini.
“Kami juga mendapat galakan daripada unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4.6 peratus pada 2017 oleh Tabung Kewangan Antarabangsa.
“Bursa Malaysia akan terus memberi tumpuan terhadap peranannya sebagai pengawal selia barisan hadapan pasaran yang cekap serta pembangun nilai untuk pemegang kepentingan kami,” katanya dalam Laporan Tahunan 2016 yang dikeluarkan hari ini.
Amirsham berkata pada 2016, pasaran modal global mengalami turun naik yang ketara ekoran ketidaktentuan terhadap prospek pertumbuhan susulan harga komoditi yang turun naik, pertumbuhan global yang lebih perlahan dan keputusan referendum United Kingdom Kesatuan Eropah yang di luar jangka yang menjejaskan sentimen pelabur global.
Bagaimanapun, asas yang kukuh menyumbang kepada daya tahan pasaran modal Malaysia.
Amirsham berkata kelembapan ekonomi China turut memberi kesan kepada pasaran ekuiti, manakala harga komoditi yang tidak menentu mewujudkan peluang untuk pasaran derivatif.
Beliau berkata sentimen pasaran yang lemah menyaksikan pengurangan dalam jumlah Tawaran Awam Permulaan (IPO) dalam kebanyakan pasaran serantau, termasuk Malaysia.
“Pada 2016, dana yang diperoleh daripada sebelas IPO dan pasaran sekunder masing-masing berjumlah RM0.6 bilion dan RM12.2 bilion, berbanding RM4.1 bilion dan RM17.1 bilion sebelumnya. Walaupun keadaan tidak menentu, kami berjaya mengekalkan prestasi kewangan.
“Perolehan dagangan yang lebih tinggi daripada pasaran derivatif dan pendapatan yang lebih baik daripada segmen data pasaran, membantu menampung penguncupan hasil perdagangan dalam pasaran sekuriti,” kata Amirsham. – Bernama