Bursa saham Saudi merosot

RIYADH, 15 SEPT – Saham Saudi merosot pada awal perniagaan Ahad, pada sesi pertama selepas serangan dron ke atas dua kemudahan minyak menjejaskan lebih separuh daripada pengeluaran ketua OPEC itu.

Indeks Tadawul All-Shares, yang mengikuti pasaran terbesar dunia Arab itu, merosot tiga peratus, menghakis kira-kira 200 mata dalam beberapa minit pertama sebelum pulih sedikit.

Hanya beberapa jam sahaja memasuki sesi, TASI merosot 1.5 peratus pada 7,715 mata.

Sektor tenaga utama jatuh 4.7 peratus, sementara sektor telekom dan perbankan masing-masing merosot tiga peratus.

Pasaran juga terjejas oleh pengumuman daripada Saudi Basic Industries Co. (SABIC), antara pengeluar petrokimia terbesar dunia, industri yang berdepan dengan kekurangan bahan mentah.

Ia tidak mendedahkan punca kemerosotan tetapi isu itu timbul semalam, hari di mana terjadinya serangan dron.

Beberapa bursa saham di Teluk itu turut merosot. Pasaran Kewangan Dubai merosot 1.1 peratus, pasaran Abu Dhabi dan Qatar masing-masing turun 0.4 peratus, sementara saham Kuwait merosot 0.8 dan bursa Bahrain jatuh 0.9 peratus.

Serangan dron ke atas loji pemprosesan di Abqaiq dan Khurais di Wilayah Timur awal pagi semalam telah memusnahkan kira-kira 5.7 juta tong sehari minyak mentah dan kira-kira dua dua bilion kaki padu pengeluaran gas asli.

Loji Abqaiq mengendalikan kira-kira tujuh juta tong sehari minyak mentah dan berbilion kaki kubik gas asli. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 15 Jun 2015 menunjukkan seorang pelabur Arab Saudi memerhatikan skrin pertukaran saham di Tadawul, Riyadh. – AFP