Buruh China, Bangladesh bergaduh di tapak pembinaan

DHAKA, 19 JUN – Ratusan buruh China dan Bangladesh bergaduh di tapak loji tenaga yang sedang dibina di selatan Dhaka, kata polis hari ini, mengakibatkan seorang pekerja China terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Polis berkata keganasan itu berpunca daripada kematian seorang pekerja Bangladesh di tapak loji 1,320 megawatt yang dibiayai China, mencetuskan penduduk tempatan menuduh pekerja China untuk cuba menutupi insiden tersebut. Pada insiden tersebut, ratusan pekerja Bangladesh dan China bergaduh di tapak yang terletak kira-kira 200km selatan bandar dengan lebih puluhan cedera, termasuk enam warga China yang dikejarkan ke hospital.

“Salah seorang pekerja China kemudian meninggal dunia di hospital akibat kecederaan di kepalanya,” kata ketua polis tempatan, Monirul Islam kepada AFP, menambah bahawa pergaduhan itu telah dileraikan oleh lebih 1,000 anggota polis.

China adalah sekutu rapat Bangladesh dan firma-firma swasta dan kerajaan China telah melaburkan bilion dolar dalam projek-projek infrastruktur negara Asia Tenggara itu yang kebanyakannya dalam sektor tenaga, kuasa dan pengangkutan.

Kehadiran sebahagian besar pekerja China di Bangladesh, sama seperti di negara lain tempat Beijing melabur telah mengakibatkan beberapa ketegangan dengan penduduk tempatan, dan para pegawai berkata pergaduhan serupa berlaku setahun yang lalu.

Polis berkata lebih 6,000 orang – termasuk kira-kira 2,000 dari China – bekerja di tapak loji tenaga itu. – AFP