Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Buruh laksana banci tahunan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan melaksanakan Banci Tahunan Majikan dan Pekerja, Gaji, Pendapatan dan Jam Bekerja Bagi Tahun 2022, menggunakan kaedah atas talian melalui Brunei Reporting System (BRS) di laman sesawang www.business.mofe.gov.bn/SitePages/OBR.aspx.

    Sehubungan itu, pihak jabatan memohon kerjasama semua entiti perniagaan, institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dan badan-badan berkanun di sektor swasta yang beroperasi di Negara Brunei Darussalam, sama ada yang mempunyai Lesen Pekerja Asing (LPA), ataupun yang hanya menggaji tenaga kerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan yang masih berkhidmat sehingga 30 Oktober ini, untuk melengkapkan maklumat-maklumat para pekerja (tempatan dan asing) termasuk majikan atau pemilik atau pengurus ke dalam borang banci yang disediakan di laman sesawang.

    Walau bagaimanapun, perkhidmatan rumah tangga atau persendirian adalah dikecualikan daripada melengkapkan maklumat banci berkenaan.

    Maklumat banci berkenaan bolehlah dilengkapkan dengan menggunakan nama pendaftaran majikan atau pemilik atau pengurus yang diperoleh melalui pendaftaran e-Darussalam.

    Tatacara melengkapkan maklumat banci juga boleh dimuat turun dari www.labour.gov.bn
    Maklumat banci yang telah dilengkapkan hanya akan dapat diterima mulai 31 Oktober dan tarikh akhir penerimaan maklumat banci pada 30 November depan.

    Pihak majikan atau pemilik atau pengurus disarankan dan dipohonkan untuk sebolehnya dapat melengkapkan maklumat banci bagi mengelakkan penyalahgunaan maklumat sulit banci oleh pihak ketiga yang telah diamanahkan untuk melengkapkan maklumat banci mereka.

    Resit Penyata Banci Majikan dan Pekerja 2021 yang telah dikeluarkan bagi Banci Tahunan Majikan dan Pekerja 2021 akan dimansuhkan dan tidak dapat digunakan lagi mulai 31 Oktober.

    Mana-mana majikan yang sengaja menolak atau mengabaikan untuk memberikan butir-butir atau maklumat yang diperlukan dalam masa yang dibenarkan; atau dengan sengaja memberi atau butir-butir atau maklumat palsu; atau enggan menjawab; atau dengan sengaja memberikan jawapan palsu dalam soalan yang perlu untuk mendapatkan apa-apa maklumat atau butir-butir yang dikehendaki di bawah akta ini, merupakan satu kesalahan dan boleh didenda sebanyak $2,500 dan penjara enam bulan, dan jika berterusan denda $50 sehari akan dikenakan.

    Untuk mendapatkan penerangan lanjut, sila rujuk ke Kaunter Perkhidmatan Kajian dan Perangkaan, Ruang Legar Tingkat Bawah, Ibu Pejabat Jabatan Buruh, Jalan Dewan Majlis.

    Kaunter perkhidmatan beroperasi pada masa-masa iaitu pada hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu, tidak termasuk cuti awam, bermula pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan pukul 1:45 petang hingga pukul 3:30 petang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...