Burundi akan tutup pejabat PBB

NAIROBI, 6 Dis – Kerajaan Burundi mengarahkan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menutup pejabatnya di negara itu dalam tempoh dua bulan, menurut kementerian luar negara dan sumber PBB memberitahu kepada AFP.

Pihak kerajaan kelmarin menghantar kenyataan secara verbal kepada penyelaras PBB Garry Conille untuk menghantar pesanan itu kepada Pesuruhjaya Tinggi majlis hak asasi Michelle Bachelet di Geneva.

“Semua kakitangan antarabangsa mesti dihantar semula dan pejabat itu diberikan tempoh dua bulan untuk berpindah dan menutup pintunya,” menurut sumber tertinggi di kementerian luar negara.

Sumber PBB telah mengesahkan maklumat itu tetapi tidak mahu memberikan nama.

“Kerajaan Burundi semakin bersikap radikal dan ingkar terhadap komuniti antarabangsa,” menurut sumber, menggariskan mengenai isu boikot Bujumbura terhadap Sidang Kemuncak Komuniti Timur Afrika pada November lalu.

Perhimpunan pemimpin serantau di Tanzania adalah untuk memfokuskan terhadap krisis politik yang sedang berlaku di Burundi selepas cubaan berkali-kali usaha damai menemui kegagalan disebabkan oleh pihak kerajaan menolak untuk mengadakan pertemuan dengan kumpulan pembangkang.

Ketiadaan Burundi menyebabkan sidang kemuncak itu ditangguhkan pada 27 Disember. Burundi telah dilanda krisis sejak Presiden Pierre Nkurunziza pada April 2015 mengumumkan bahawa beliau berusaha untuk melanjutkan penggal ketiga di pejabat, mencetuskan ketidakstabilan awam yang menyebabkan 1,200 terkorban dan lebih 400,000 terjejas.

Pada Oktober 2016, Burundi menggantung kerjasama bersama pejabat hak asasi manusia PBB mengenai keterlibatannya dalam laporan yang menuduh Bujumbura menyalahgunakan sistem dan memberi amaran mengenai risiko penghapusan kaum.

Pada September lalu, Burundi mengancam untuk keluar daripada majlis hak asasi selepas laporan mengenai jenayah kemanusiaan di negara itu. – AFP