Burung disangka pupus muncul selepas 170 tahun

JAKARTA, 25 FEB – Seekor burung kali terakhir dilihat 170 tahun lalu di hutan hujan Borneo, ditemui semula, mengejutkan pihak pemuliharaan yang sudah lama menganggap ia pupus.

Burung murai berkulit hitam atau Black-browed Babbler (gambar) hanya didokumentasikan sekali – ketika kali pertama ditemui sekitar tahun 1848 – dan selepas itu usaha mencarinya tidak diteruskan.

Namun lewat tahun lalu, dua lelaki di Borneo, Indonesia melihat seekor burung yang mereka tidak kenali dan merakamkan gambarnya sebelum melepaskan makhluk sebesar tapak tangan itu kembali ke hutan, menurut Global Wildlife Conservation.

Ahli ornitologi terkejut mendapati bahawa burung itu masih hidup dan dalam keadaan baik, meskipun tidak pernah dilihat semenjak Charles Darwin menerbitkan ‘On the Origin of Species.

“Ia seperti momen Eureka!,” kata Panji Gusti Akbar, pengarang utama kertas kerja mengenai penemuan yang disiarkan di jurnal BirdingASIA hari ini.

“Burung ini sering digelar ‘enigma terbesar dalam ornitologi Indonesia. Ia amat mengejutkan apabila memikirkan ia belum pupus dan masih hidup di hutan tanah rendah ini.”

Tidak banyak yang diketahui mengenai burung yang mempunyai sayap coklat dan perang yang telah ‘hilang’ lebih lama berbanding burung-burung Asia lainnya, menurut jurnal itu. – AFP