Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Burung toki ibarat duta alam sekitar di Jepun

    SADO, JEPUN – Setiap hari sejak 14 tahun lalu, Masaoki Tsuchiya, 72 tahun, bertolak dari rumah sebelum matahari terbit untuk mencari seekor burung yang berjaya diselamatkan daripada pupus di Jepun.

    Memulakan perjalanan dalam keretanya di bawah langit bermandikan bintang-bintang bergemerlapan, dia bekerja sendirian dengan berselimutkan kedinginan udara, mencatat penanda sama ada burung dilihat atau tidak dalam buku perancang, dan hanya suara walkie-talkie yang memecah keheningan malam.

    Burung yang dicarinya digelar ‘toki’ dalam bahasa Jepun, dan kehadirannya di tempat asal pulau Sado membuktikan kejayaan program pemuliharaan yang dilaksanakan.

    Dalam masa dua dekad, populasi toki liar di Jepun telah meningkat dari sifar kepada hampir 500, kesemuanya di Sado, di mana burung yang memiliki bulu merah muda dan paruh melengkung unik telah menarik ramai pelancong.

    Ia merupakan kisah kejayaan pemuliharaan yang jarang berlaku apabila satu dalam lapan spesies burung di seluruh dunia diancam kepupusan, dan membabitkan diplomasi antarabangsa serta revolusi pertanian di sebuah pulau kecil yang terletak di pantai barat Jepun.

    Petani Shinichiro Saito bekerja menggunakan jentera penanam padi di sebuah sawah di mana burung toki liar mencari makanan di pulau Sado, wilayah Niigata. – AFP
    Anak benih padi kelihatan sebelum ditanam di sebuah sawah di mana burung toki liar mencari makanan di pulau Sado, wilayah Niigata. – AFP
    Seekor burung toki mendarat di sawah padi untuk mencari makanan. – AFP
    Seorang petani mengangkat anak benih padi di sebuah sawah padi di pulau Sado. – AFP

    Tsuchiya, lelaki berbadan gempal dengan senyuman nakal, tidak makan sarapan sehingga dia telah melakukan kesemua persinggahan, dan selepas menyelesaikan kerja rutin bertahun-tahun lamanya, dia boleh mengesan anak burung tersembunyi dalam sarang menerusi binokular yang dipasang di tingkap keretanya.

    Dia menuding kepada tanda-tanda di jalan atau tembok yang membantunya mengingat di mana dia meletak kereta dan memulakan kerja-kerja meninjau.

    “Jumlah yang saya lihat di tempat ini bergantung pada musim,” jelasnya.

    Ada harinya puluhan burung muncul di satu kawasan, sesuatu yang tidak dapat dibayangkan pada 2003, apabila seekor toki bernama Kin atau ‘emas’ mati dalam kurungan di Sado pada usia 36 tahun.

    Kematiannya bermakna tidak ada seekor toki liar yang tinggal di Jepun, meskipun burung berkenaan disinonimkan dengan negara sehingga ia dikenali sebagai crested ibis Jepun.

    “Saya tahu masanya akan tiba. Kin sudah tua dan nampak lemah,” kata Tsuchiya. “Namun sayang seribu kali sayang, segala-galanya terpaksa berakhir.”

    Sekarang banyak toki boleh dilihat terbang di langit atau merayau-rayau di sawah padi Sado sehingga pegawai tempatan melatih jurupandu pelancong untuk membantu mengesan burung tempatan itu, dan kerajaan sedang menimbang untuk memperkenalkan burung berkenaan di kawasan lain.

    Toki liar pernah hidup di seluruh Jepun, serta di Rusia, Taiwan dan Korea Selatan.

    Burung berkenaan dianggap perosak yang merosakkan tanaman padi, tetapi semasa era pemerintahan Edo dari 1603 hingga 1867, sekatan memburu yang dikenakan bermakna hanya pegawai kanan yang boleh memburu burung seperti toki.

    Dasar itu berubah semasa era Meiji ketika senapang menjadi lebih senang diperoleh. Daging toki dipercayai mempunyai khasiat kesihatan, dan bulunya amat disukai dan digunakan sebagai pengesat dan hiasan pada topi.

    “Dalam tempoh 40 tahun saja, toki nampaknya sudah lenyap,” kata Tsuchiya di pusat pemerhatian di mana pelawat kini boleh melihat burung tersebut.

    Pada awal 1930, hanya beberapa dozen toki yang masih hidup di Jepun, kebanyakannya di Sado dan semenanjung Noto, dan spesies itu telah diberikan status perlindungan.

    Satu ancaman baharu timbul semasa selepas peperangan di Jepun, iaitu penggunaan baja kimia dan racun perosak.

    Toki mencari makanan di sawah padi yang meniru habitat tanah lembap berpaya dan burung berkenaan makan segala-galanya daripada serangga kepada ketam kecil dan katak.

    Bahan kimia menjejas burung dan makanannya, dan menjelang 1981, hanya lima toki liar yang ditemui di Jepun, kesemuanya di Sado, di mana pegawai membela burung berkenaan dalam kurungan.

    Namun secara kebetulan, pada tahun yang sama, tujuh toki liar ditemui di satu kawasan terpencil di wilayah Shaanxi, China, sekali gus memberikan harapan kepada survival burung berkenaan.

    Burung yang dikurung di Sado gagal mengawan, tetapi program di China mencatat lebih banyak kejayaan, dan apabila presiden China Jiang Zemin mengadakan lawatan pertama pada 1998, beliau menawarkan hadiah berupa sepasang toki kepada Jepun.

    You You dan Yang Yang tiba pada tahun berikutnya, melahirkan anak burung pertama beberapa bulan kemudian dalam satu acara yang menjadi berita utama di kaca televisyen.

    Burung lain tiba dari China, dan tidak lama selepas itu Sado mempunyai jumlah burung toki yang cukup untuk dipertimbang diperkenalkan semula ke habitat hutan.

    Namun mereka terpaksa mengatasi masalah penggunaan baja kimia dan racun perosak di Sado.

    “Pada masa itu, orang tidak memikirkan mengenai alam sekitar apabila bercucuk tanam. Mereka mengutamakan menjual produk pada harga tinggi dan menuai seberapa banyak mungkin,” kata Shinichiro Saito, pesawah berusia 60 tahun.

    Petani diminta mengurangkan baja kimia dan racun perosak kepada separuh daripada tahap yang dibenarkan oleh peraturan, namun timbulnya masalah.

    Bahan kimia kurang bermakna hasil keluaran lebih rendah, kehilangan pendapatan dan lebih banyak rumpai.

    Pegawai tempatan menggunakan pendekatan ganjaran, dan enggan membeli beras daripada petani yang menolak had baja kimia baharu serta mewujudkan jenama beras premium baharu yang ‘mesra toki’ berbanding dengan mereka yang enggan menerima dasar itu.

    Namun Saito berkata perbezaan sebenar dapat dilihat apabila burung pertama dilepaskan pada 2018.

    “Toki yang mengubah fikiran pesawah,” katanya sambil tersenyum.

    Malah petani yang keberatan menerima program tersebut berasa ‘teruja’ melihat burung dengan status mitos di Sado itu merayau-rayau menerusi sawah mereka.

    “Ia adalah kisah benar. Toki ibaratkan duta alam sekitar, ia membantu mewujudkan alam sekitar yang lestari untuk semua.”

    Dan program pembiakan telah diteruskan, disokong oleh burung dari China yang membantu menambah jumlah yang ada. Kira-kira 20 ekor burung dilepaskan dua kali setahun selepas tamat daripada program latihan tiga bulan yang mempersiapkan mereka untuk kehidupan di luar kurungan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...