BUSA anjur bengkel Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Bersempena Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa yang jatuh pada 23 September ini, Persatuan Brunei-USA (BUSA) dengan kerjasama BUSA-Universiti Brunei Darussalam (UBD), BUSA-Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan BUSA-Politeknik Brunei (PB) Chapters telah mengadakan bengkel Brunei-American Sign Language.

Bengkel dua hari, bermula kelmarin, yang diadakan di Avenue 41, Kampung Kiarong itu disertai oleh seramai 37 orang peserta dari pelbagai institusi dan organisasi tempatan. Turut hadir ialah ahli dari Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat dan anggota BUSA.

Perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Presiden BUSA, Dayang Salimah binti Haji Saim yang turut menekankan mengenai pentingnya untuk meningkatkan kesedaran dan kepekaan terhadap masyarakat yang mempunyai masalah pendengaran di Negara Brunei Darussalam.

“Melalui bengkel ini, kami berharap dapat melengkapkan masyarakat dengan prinsip-prinsip asas bahasa isyarat dan bagaimana berkomunikasi dengan individu yang mempunyai masalah pendengaran,” tambahnya.

Ong Siok Yan, yang kini merupakan guru orang kurang upaya pendengaran di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hadir sebagai fasilitator pada acara berkenaan.

Dalam bengkel berkenaan, para peserta didedahkan kepada teknik penentuan posisi telapak tangan untuk membentuk ejaan menggunakan jari yang betul dari teknik yang digunakan untuk tanda huruf-huruf serta angka dalam bahasa isyarat. Selain itu, mereka juga diajar mengenai ucapan dan bahasa isyarat lain yang kemudian dipraktikkan secara interaktif dalam kalangan peserta.

Peserta juga diberi peluang untuk mempraktikkan kemahiran asas bahasa isyarat mereka kepada Awang Bahrul Asmie bin Abu Bakar dan Awang Mohd Lutfi bin Hussin yang dijemput dari Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP) Negara Brunei Darussalam.

Maklum balas positif peserta memberi lebih banyak harapan kepada komuniti dengan masalah pendengaran kerana bengkel berkenaan memberikan peningkatan kemahiran untuk memudahkan komunikasi dengan individu yang menghadapi masalah pendengaran.

Bengkel Brunei-American Sign Language membantu meningkatkan kesedaran dan kepekaan terhadap masyarakat yang mempunyai masalah pendengaran di negara ini.