Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    BUSA anjur bengkel keusahawanan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Persatuan Brunei-USA (BUSA) dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARe) baru-baru ini, telah mengadakan bengkel dua hari mengenai ‘Panduan Cara Membuka Perniagaan 101’ untuk ahli-ahlinya, bagi membantu mereka yang berhasrat membuka perniagaan dalam memutuskan sama ada idea mereka berbaloi untuk diteruskan, serta memikirkan cara beralih daripada idea kepada pelaksanaan.

    Seramai 30 orang peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi menyertai bengkel berkenaan yang diadakan di Auditorium I-Centre di Anggerek Desa sempena Festival Hari Belia Kebangsaan (HBK 17).

    Bengkel berkenaan juga mengetengahkan tatacara mendaftar perniagaan dan menyediakan dokumen yang diperlukan untuk beroperasi serta mengetahui struktur perniagaan, mengusahakan carta organisasi dan mengenal pasti jurang. Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden BUSA, Dayang Salimah binti Haji Saim berharap para peserta dapat mengenal pasti sasaran dan jurang untuk meminimumkan risiko apabila memulakan perniagaan, serta memahami pelbagai jenis dokumen yang diperlukan untuk mendaftar perniagaan di Negara Brunei Darussalam.

    Ia diakhiri dengan klip video dan penyampaian sijil kepada para peserta oleh Pegawai Hal Ehwal Awam di Kedutaan Amerika Syarikat di Brunei Darussalam, Jeffrey Barrus selaku tetamu kehormat.

    Dalam ucapan penutupnya, Barrus berkata beliau sangat gembira melihat dua rakan kongsi utama Kedutaan AS bekerjasama untuk mempromosikan keusahawanan belia.

    Beliau seterusnya berkata bahawa Kedutaan AS menyokong semua program keusahawanan di Brunei dan percaya bahawa keusahawanan merupakan cara yang terbaik untuk meningkatkan minat berniaga dan membantu usaha mempelbagaikan ekonomi negara.

    Dalam pada itu, Naib Pengerusi BUSA Cawangan Politeknik Brunei (PB), Dayang Nur Imanina Izzaty binti Haji Jamrie berkata, sepanjang bengkel berlangsung, beliau telah mendapat lebih banyak ilmu tentang cara memulakan perniagaan kecil-kecilan dan maklumat yang diberikan adalah berguna, praktikal dan mudah difahami.

    Peserta bengkel bergambar ramai bersama Pegawai Hal Ehwal Awam di Kedutaan AS. – Gambar serahan BUSA
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...