‘Butik bergerak’ bantu ekonomi penduduk

HARARE – Di persimpangan yang sibuk ibu kota Zimbabwe, Harare, seorang lelaki berbicara dengan pelanggan yang memerhatikan sepasang seluar yang dijual melalui kedai mudah alih di tepi jalan.

Pelanggan tersebut menggunakan kemahiran menawarnya dan penjual tersebut pula menggunakan kemahiran memujuknya untuk membeli.

Akhirnya, pelanggan tersebut berpuas hati dengan tawaran yang telah diberikan, menyerahkan wang AS$10 kepada penjual, membungkus seluar tersebut ke dalam beg galasnya, dan langsung pergi.

Pemilik butik mudah alih, Gift Makombe berusia 55 tahun, telah menjual kebanyakan pakaian terpakai dari keretanya selama lebih satu dekad dan semakin mahir dalam hal ehwal memujuk.

Selepas gagal untuk mendapat pekerjaan berikutan penutupan syarikat keselamatan yang pernah menjadi kerjayanya sebagai pengawal keselamatan, Makombe membuat keputusan untuk mengusahakan perniagaannya dalam penjualan mudah alih.

“Saya membuat keputusan untuk menjadi seorang penjual mudah alih selepas syarikat keselamatan tempat saya bekerja telah ditutup. Saya pergi ke kampung, kemudian kembali ke bandar dan meminjam wang supaya saya dapat mulakan bisnes tersebut,” beritahu Makombe kepada Xinhua.

Seorang peniaga duduk di bahagian belakang kereta menjual pakaian di Harare, Zimbabwe pada 22 Sept, 2021. – Xinhua
Wabak pandemik COVID-19 menjatuhkan ekonomi Zimbabwe memaksa orang berdagang secara tidak rasmi. – Xinhua
Aktiviti perniagaan seorang penjual mudah alih di Harare, Zimbabwe. – Xinhua

Melalui butik mudah alihnya, bapa kepada lima orang anak berhasil untuk mengajar anak-anaknya dan menyokong perbelanjaan keluarganya di kampung. Bagaimanapun, dia lebih memilih kepada pekerjaan yang tetap berbanding penjualan mudah alih.

“Mempunyai kerja tetap yang bergaji, tetapi mendapatkan pekerjaan dalam syarikat sangat susah semenjak kebanyakan syarikat tidak memerlukan pekerja baru, jadi saya bercadang untuk menceburkan diri dalam penjualan mudah alih supaya saya dapat menyara keluarga saya,” katanya.

Menjual pakaian yang terpakai mungkin tidak memberangsangkan seperti yang diharapkan, tetapi dia bersyukur dengan apa yang ada.

“Buat masa ini, saya berpuas hati sebab tidak ada pekerjaan, jika saya berhasil untuk memperoleh AS$10 sehari, jadi saya akan hantar duit tersebut ke kampung untuk menampung keluarga saya, dan membolehkan saya untuk melawat mereka dan kembali bekerja,” katanya.

Walaupun berjual tanpa lesen, Makombe menyatakan penjual sering bertengkar dengan penguat kuasa undang-undang atas sebab tuduhan berjual di tempat yang tidak dibenarkan.

Kedai mudah alih sudah menjadi satu kebiasaan di Harare semenjak kejatuhan ekonomi disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang memaksa orang ramai untuk berdagang secara informal.

Selepas bekerja selama 10 tahun dan masih gagal untuk memenuhi syarat, Rodreck Limula membuat keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang penjualan mudah alih.

Dia berkata kegagalan untuk membayar sewa tempat berjual di tengah daerah bisnes Harare menyebabkannya tiada pilihan.

“Kami menyedari penjual mudah alih lebih baik daripada menyewa sebuah bangunan kerana bayaran sewa yang mahal. Tambahan lagi, terdapat banyak lalu lintas di tepi jalan, kami bertemu dengan berbagai-bagai jenis orang, itu cara kami melakukan perniagaan,” katanya.

Limula menyatakan walaupun dia mampu untuk menampung keluarganya melalui perniagaan tersebut, dia bimbang akan umur bersara yang semakin hampir dan dia harus bekerja dengan lebih gigih untuk membuat pelaburan demi membayar insurans pencennya.

Pemilik perniagaan kecil, Bright Mugwagwa, berkata kelebihan penjualan mudah alih ini adalah waktu bekerja yang fleksibel.

Mugwagwa ialah seorang peniaga yang merentas sempadan, dan dia menjual kasut yang terpakai yang dibawa dari negara jiran Mozambique.

Dengan ekonomi yang terjejas oleh pandemik, perdagangan merentas sempadan telah memainkan peranan yang penting terhadap ekonomi Zimbabwe kerana ia menyediakan peluang pekerjaan dan membekalkan pelanggan yang kurang berkemampuan dengan barang yang murah berbanding di kedai biasa. – Xinhua