Butra menang tempat kedua AMA

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Brunei Darussalam telah melakar satu lagi sejarah apabila buat julung-julung kalinya negara dengan diwakili Butra Heidelberg Sdn Bhd menyertai Anugerah Galian ASEAN (AMA) ke-2 yang diadakan bagi mendukung Pelan Tindakan Kerjasama Bahan Galian ASEAN (AMCAP).

Menurut kenyataan yang diberikan, enam kategori dipertandingkan dalam anugerah berkenaan iaitu Metallic atau Non-Metallic Mining, Metallic atau Non-Metallic Mining Processing dan Metallic atau Non-Metallic Mining Distribution.

Sebanyak 14 buah syarikat di seluruh negara ahli ASEAN telah disenarai pendekkan dan Butra berjaya merangkul tempat kedua bagi Kategori Non-Metallic Mining Distribution.

Penyertaan kali ini menunjukkan komitmen tinggi Brunei Darussalam terhadap agenda ASEAN khususnya dalam sektor galian. Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh menteri galian Thailand semasa malam gala mesyuarat tersebut yang telah diadakan pada 13 Disember 2019 bersempena Mesyuarat Peringkat Menteri Galian ASEAN ke-7.

Mesyuarat-mesyuarat berkaitan termasuk Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Bahan Galian ASEAN ke-19, Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Bahan Galian ASEAN + 3 (China, Jepun dan Republik Korea) ke-12 yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan telah berlangsung di Hotel Pullman, Bangkok, Thailand pada 11 hingga 13 Disember lalu.

Menteri Galian Thailand bergambar bersama wakil Butra selepas memenangi tempat kedua Kategori Non-Metallic Mining Distribution pada malam gala mesyuarat pada 13 Disember.