Buttigieg batal hasrat tanding calon presiden 2020

NEW YORK, 2 MAC – Bekas Datuk Bandar dan veteran perang Afghanistan, Pete Buttigieg memutuskan untuk menarik diri daripada bersaing merebut pencalonan Parti Demokrat bagi bertanding dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, lapor agensi berita Anadolu memetik akhbar The New York Post pada kelmarin.

Buttigieg, yang sebelum ini mengetuai bandar kecil South Bend di Indiana dan menjadi datuk bandar pertama secara terbuka mengaku mengamalkan hubungan sejenis, memutuskan untuk menarik diri, kata seorang yang diberi taklimat mengenai rancangannya kepada akhbar itu.

Veteran tentera berusia 38 tahun itu membuat keputusan berkenaan selepas keputusan pengundian parti di Carolina Selatan pada Sabtu.

Keputusan menunjukkan beliau ketinggalan jauh di tempat keempat di belakang bekas Naib Presiden, Joe Biden; pemimpin berhaluan kiri dari Vermont, Bernie Sanders dan jutawan Tom Steyer. Meskipun Buttigieg muncul tiba-tiba dan berdepan dengan kritikan kurang pengalaman politik, calon muda itu berjaya mencuri perhatian menerusi kemampuannya berpidato dengan bernas serta meyakinkan di pentas atau kaca televisyen.

Beliau menang dalam pengundian di kokus Iowa dan berada di tangga kedua di New Hampshire.

Bagaimanapun, sambutan hambar keatasnya di Carolina Selatan terutama pengundi kulit hitam dan minoriti – prasyarat untuk Demokrat mendapatkan kerusi Rumah Putih.

Keputusan Buttigieg itu dibuat menjelang pengundian penting ‘Super Tuesday’, pemilihan terbesar dalam kalender pengundian peringkat negeri.

Biden dan Sanders berharap, ‘Super Sunday’ akan mengukuhkan penguasaan masing-masing dalam perlumbaan menjadi calon parti Demokrat.

Turut bersaing kelak adalah Senator Massachusetts, Elizabeth Warren; Senator Minnesota, Amy Klobuchar dan bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, yang kali pertama mencuba nasib selepas menempah kempen televisyen besar-besaran. – Bernama