Buttigieg nyata sokong Biden

WASHINGTON, 3 MAC  – Sehari selepas menarik diri daripada persaingan merebut tempat sebagai calon Parti Demokrat untuk saingan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, Pete Buttigieg berkata, beliau kini menyokong Joe Biden.

Menurut agensi berita Sputnik, pengumuman beliau dibuat menjelang ‘Super Tuesday’ – pemilihan utama peringkat Parti Demokrat yang menyaksikan sebanyak 14 negeri mengundi membabitkan 1,344 delegasi atau satu pertiga daripada keseluruhan undian peringkat negeri.

“Saya dengan gembira mengesahkan dan menyokong Biden sebagai Presiden,” kata Buttigieg di sisi bekas naib presiden Amerika itu pada rapat umum di Dallas, Texas kelmarin.

Terdahulu, Senator Amy Klobuchar menerusi satu kenyataan berkata, beliau juga menghentikan kempennya serta beralih arah untuk menyokong Biden.

Selepas undian di Iowa, New Hampshire, Nevada dan Carolina Utara, Senator Bernie Sanders di depan dengan 56 undi daripada delegasi berbanding Biden, 50.

Bagaimanapun, dengan sokongan Klobuchar dan Buttigieg, Biden mungkin mampu menarik lebih 30 ikrar sokongan daripada delegasi.

Namun, perjalanan masih jauh dengan calon mesti mendapatkan sekurang-kurangnya 1,991 ikrar delegasi bagi memboleh mereka memenangi saingan parti untuk dicalonkan di konvensyen kebangsaan sebagai wakil demokrat bagi merebut kerusi Rumah Putih. – Bernama

Calon Parti Demokrat dan bekas timbalan presiden, Joe Biden ketika berucap di restoran Chicken Sceatch sebelum ‘Super Tuesday’ pada 2 Mac. Bekas calon Parti Demokrat, Pete Buttigieg menyatakan sokongan kepada Joe Biden. – AP