Buttigieg, Sanders dahului kokus Iowa

WASHINGTON, 5 FEB – Bekas Datuk Bandar South Bend, Indiana, Pete Buttigieg dan Senator Vermont Bernie Sanders, berada di kedudukan mengejutkan dalam kancah pengundian kokus Iowa dengan keputusan tidak rasmi menunjukkan mereka mendahului dengan 62 peratus undi semalam.

Agensi berita Anadolu melaporkan, keputusan yang dikeluarkan hampir 24 jam selepas pengundian bermula, menunjukkan Buttigieg dan Sanders dipisahkan kurang dua mata peratusan diikuti Senator Massachusetts Elizabeth Warren dan bekas Naib Presiden Joe Biden, yang jauh ketinggalan.

Paling mengejutkan ialah prestasi Biden. Beliau telah mengetuai senarai Demokrat dan dilihat hanya menerima saingan sengit daripada Sanders di kokus Iowa yang memulakan pengundian pada malam Isnin, sebelum ketinggalan di belakang calon lain.

Tetapi dengan lebih satu pertiga undi yang belum dikira, keputusan mungkin boleh memihak kepada mana-mana calon.

Pada sidang media, Pengerusi Parti Troy Price mengelak untuk memberitahu bila keputusan penuh akan diumumkan, walaupun diasak dengan soalan berhubung perkara itu.

Pengumuman mengenai keputusan rasmi berulang kali ditunda, menurut pegawai Parti Demokratik Iowa ia disebabkan kesilapan pengekodan. Parti itu menafikan masalah teknikal itu disebabkan gangguan atau disabotaj.

Iowa mempunyai 41 delegasi yang menjadi rebutan, jumlah kecil daripada 1,991 delegasi ahli parti Demokrat yang perlu ditawan oleh calon dalam siri pengundian peringkat negeri menjelang konvensyen pencalonan kelak. Bagaimanapun, kepentingan Iowa tidak sekadar terletak kepada bilangan delegasinya yang sedikit.

Buat calon, Iowa menentukan hala tuju sebelum melangkah ke musim saingan utama dan menggunakan lonjakan kemenangan di situ untuk memastikan kejayaan di negeri lain.

Ia penting kerana tujuh daripada sembilan calon sebelum ini yang menang di Iowa berjaya dicalonkan Demokrat, termasuk empat calon sebelum ini antaranya bekas naib presiden Al Gore yang menang pada 2000 tetapi tewas di peringkat kebangsaan di tangan Presiden George W Bush. – Bernama

Calon Demokratik Pete Buttigieg bertemu penyokong di sebuah kedai piza di Hampton, New Hampshire selepas kokus Iowa pada 4 Februari 2020. – AFP