Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    Buzkashi kembali diraikan

    KABUL – Noor Mohammad Aka, pesara juara Buzkashi, meninjau padang permainan di kejohanan Buzkashi kebangsaan di Kabul dan sangat gembira dengan apa yang dilihatnya.

    “Dengan kembalinya keamanan, kami boleh meraikan sukan tradisional kami. Keselamatan telah bertambah baik sehingga ramai orang berkumpul di sini untuk menikmati permainan tanpa rasa bimbang,” kata Aka.

    Penonton berusia dari Baghlan di utara negara itu menyifatkan kejayaan pertandingan itu dengan kawalan keselamatan ketat yang dipastikan oleh Taliban.

    Sejak pertukaran kerajaan pada Ogos tahun lalu, tiada insiden keselamatan besar dilaporkan.

    Tamatnya perang telah diisytiharkan dan kerajaan pusat telah melanjutkan pemerintahannya ke seluruh negara buat kali pertama dalam hampir 40 tahun.

    Penunggang kuda bersaing semasa permainan Buzkashi di Kabul, Afghanistan. – Xinhua
    Kelihatan orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan pertandingan Buzkashi. – Xinhua

    Buzkashi ialah permainan seperti polo versi Afghanistan, dimainkan di seluruh Asia Tengah.

    Pasukan dari 14 wilayah dan ribuan penonton menghadiri pertandingan selama 10 hari itu sehingga 6 Mac.

    “Buzkashi adalah pusat kepada budaya dan sejarah Afghanistan,” Anayatullah Sadeq, pengerusi persekutuan Buzkashi, memberitahu Xinhua.

    Seramai 15,000 penonton hadir setiap hari, katanya.

    Kashmir Khan, 35, dari wilayah Kunduz, adalah peminat tegar Buzkashi.

    “Ia permainan kegemaran saya dan seluruh keluarga. Saya datang dari Kunduz lima hari lalu dan saya tinggal di hotel untuk menonton perlawanan itu,” katanya.

    “Saya sangat berpuas hati dengan keadaan keselamatan yang semakin baik. Ia membuatkan saya berharap masalah ekonomi kita akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.” – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...