BWF ubah suai kalendar kejohanan jelajah dunia

KUALA LUMPUR, 28 OGOS – Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah memutuskan untuk melaksanakan kalendar kejohanan yang diubah suai dalam saingan Jelajah Dunia BWF  musim ini susulan penularan wabak COVID-19.

Menurut BWF dalam kenyataan hari ini, pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 akan diteruskan seperti dijadual di Aarhus, Denmark dari 3 hingga 11 Oktober ini.

Selepas kejohanan berprestij itu, saingan Jelajah Dunia akan disambung semula dengan kejohanan Terbuka Denmark I dan II di Odense, masing-masing dari 13 hingga 18 Oktober dan 20 hingga 25 Oktober.

Selepas Terbuka Denmark, BWF berkata saingan Jelajah Dunia akan diteruskan dengan tiga siri kejohanan di Asia pada November ini sebelum musim ini melabuhkan tirai pada Jelajah Dunia Akhir BWF. Bagaimanapun, BWF belum menetapkan tarikh dan lokasi kejohanan Jelajah Dunia Akhir itu.

Menurut badan induk badminton dunia itu, semua baki kejohanan Jelajah Dunia BWF berdasarkan kalendar awal tidak akan berlangsung pada tarikh dan lokasi yang disenaraikan pada asalnya. – Bernama