BYLC 2018 labuh tirai

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Konvensyen Pemimpin Muda Brunei (BYLC) 2018 melabuh tirainya hari ini dengan majlis penutup yang diadakan di Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong.

Hadir menyempurnakan majlis penutup BYLC 2018 ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari dan Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.

Konvensyen anjuran Al-Huffaz Management dan Generasi Bekarih yang diketuai oleh ahli MMN Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad berkenaan adalah yang pertama kali diadakan untuk menyampaikan maklumat tepat dan terkini mengenai wawasan 2035.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika melawat beberapa pameran pada Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2018 yang berakhir kelmarin dengan majlis penutupnya diadakan di Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong. – Gambar oleh Pg Fairol RMF
Sesi bergambar ramai bersama Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Kira-kira 200 orang peserta telah terlibat dalam forum belia yang berlangsung selama tiga hari itu.
Para pemimpin muda ketika menyampaikan persoalan atau idea mereka kepada barisan panel mengenai produk perniagaan atau kerjaya mereka.

Selain itu, ia juga diadakan untuk menyatukan agensi yang berkepentingan dalam pembangunan belia serta memberikan platform kepada peserta untuk melaksanakan projek atau program yang mampu mendukung untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.

Selain perkongsian pengalaman, forum mengenai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan, perlaksanaan projek dan pembiayaan projek juga diadakan semasa konvensyen selama tiga hari yang disertai oleh 200 orang peserta itu.

Konvensyen berkenaan juga memberi berpeluang kepada peserta untuk berinteraksi, membina rangkaian dan bekerjasama dengan para mentor yang terdiri dari belia berpengalaman dan telah menyumbang kepada pembangunan Negara.