Cabar diri atasi gayat, ceburi sukan luncur udara

KUALA LANGAT – Pada awalnya Suzanaeirne Zamri@Zambri merupakan seorang gadis yang takutkan ketinggian, namun kini beliau bebas terbang di udara menerusi sukan ekstrem iaitu luncur udara atau paragliding.

Suzanaeirne, 23, atau mesra dipanggil Suzana berkata minat menceburi sukan luncur udara timbul apabila beliau begitu cemburu melihat paraglider lain menikmati sukan tersebut, sekali gus ingin membuktikan bahawa dirinya juga mampu meluncur seperti mereka.

Pemegang Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Malaysia itu berkata sejak beliau menaiki tandem, iaitu paragliding dua orang dengan ‘pilot’ paragliding menerbangkannya di Bukit Maras, Terengganu dua tahun lepas lalu mula jatuh hati terhadap sukan itu.

“Saya sememangnya seorang yang aktif bersukan sebelum kenal dengan sukan lasak ini. Saya baharu sahaja hendak menjinakkan diri dalam sukan ini namun kehadiran pandemik COVID-19 menyebabkan latihan saya terbatas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengimbau tujuannya menjalani latihan berkaitan sukan berisiko tinggi tersebut, Suzana berkata beliau mahu menambah baik kecekapannya supaya dapat melakukan aksi itu di pelbagai negara, kerana sukan lasak tersebut dikenali di seluruh dunia.

“Saya berpeluang menjalani latihan dalam sukan paragliding selama sembilan hari di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada akhir 2019 di bawah kendalian Prosky Academy Malaysia, Negeri Sembilan iaitu sebuah akademi paragliding di negara ini,” katanya.

Suzana berkata pada awalnya beliau memilih untuk menjalani latihan di Malaysia, tetapi semasa menyatakan hasrat untuk terlibat dalam sukan tersebut, akademi itu mengadakan kem latihan di UAE sekali gus memberikan dirinya peluang untuk mempelajari sukan itu di negara berkenaan.

Beliau berkata pengalaman sembilan hari itu memberi manfaat kepadanya, kerana dapat mempelajari sukan tersebut di tempat dan cuaca berbeza.

“Semasa di UAE, saya bermula dengan ‘zerobasic’ di kawasan padang pasir. Apabila tamat latihan dan pulang ke tanah air, perbezaannya di sini (Malaysia) terdapat banyak pokok dan bukit yang merupakan cabaran dalam meluncur,” katanya. Menurut Suzana, beliau gayat apabila berada di tempat tinggi dan mencabar dirinya menangani ketakutan itu, hingga mendorongnya berkecimpung dalam sukan itu. – Bernama