Cabaran bawa kembali kanak-kanak pelarian untuk bersekolah

ADANA, Turki – Seperti kebanyakan pelajar seusianya, Fatimah, seorang pelarian berusia 16 tahun bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Dan bayaran bulanan lebih kurang 10 euro, boleh membawa kepada perubahan yang begitu besar.

Berasal dari bandar raya Syria, Aleppo, remaja itu telah tinggal di Adana di selatan Turki selama enam tahun bersama ayahnya dan tiga adik-beradik lelakinya yang masih kecil.

Untuk menyara keluarganya itu, ayahnya telah menjual pastri Syria yang dibantu olehnya di rumah.

“Saya terlepas penggal pertama persekolahan saya kerana untuk membantu ayah saya menjaga tiga adik-beradik lelaki saya dan juga menyediakan pastri-pastri tersebut,” katanya kepada AFP yang berada antara kelas-kelas di sekolah awam di Adana.

Fatmeh adalah salah seorang daripada 460,000 pelarian di Turki – kebanyakannya adalah warga Syria, yang mana keluarganya mendapat faedah dari bantuan bulanan yang menyasarkan kepada penjagaan kanak-kanak sekolah di kelas berbanding keluar bekerja.

Seorang wanita Syria, yang menghantar anaknya ke sekolah, menunjukkan kad tunai banknya, yang merupakan sebahagian daripada program Conditional Cash Transfer for Education, yang dibiayai oleh sumber-sumber antarabangsa seperti Kesatuan Eropah dan dikendalikan oleh dana kanak-kanak PBB UNICEF, Palang Merah dan pihak berkuasa Turki di Adana. – AFP
Pelajar-pelajar Syria bermain semasa waktu rehat mereka di sekolah rendah Sehit Duran di Adana. – AFP
Seorang guru mengajarkan pelajaran bahasa Turki kepada kanak-kanak warga Syria di sekolah rendah Sehit Duran di Adana. – AFP
Kanak-kanak warga Syria khusyuk mendengarkan penerangan daripada guru mereka di bilik darjah mereka di sekolah rendah Sehit Duran di Adana. – AFP

Kanak-kanak warga Syria menghadiri kelas bahasa Turki di pusat Pendidikan Awam (Halk Egitim Merkezi) di Adana. – AFP
Beberapa kanak-kanak bermain ‘fussball’ di Pusat Belia dan Sukan Turki (Genclik ve Spor Merkezi) di Adana. – AFP
Seorang wanita Syria berjalan di koridor di sekolah rendah Sehit Duran di Adana. – AFP
Guru warga Syria, Reem Zeidane, semasa diwawancara di sekolah rendah Sehit Duran di Adana. – AFP

Wang tersebut – 35-50 lira Turki bagi kanak-kanak lelaki, dan 40-60 lira bagi kanak-kanak perempuan (AS$6-AS$11 / 5-9 euro) – adalah sebahagian daripada program Conditional Cash Transfer for Education, yang dibiayai oleh sumber-sumber antarabangsa seperti Kesatuan Eropah dan diuruskan oleh dana kanak-kanak PBB UNICEF, Palang Merah dan pihak berkuasa Turki.

Walaupun jumlahnya dilihat agak kecil, namun ia sudah memadai bagi keluarga-keluarga miskin Syria yang sering hidup dalam bantuan asas dan sumber pekerjaan tidak formal, terutama bagi mereka yang mempunyai beberapa anak yang masih sekolah.

Jumlahnya sama dengan apa yang diberikan kepada keluarga-keluarga warga Turki dari perkhidmatan sosial untuk mengelakkan aduan bahawa pelarian Syria mendapat rawatan atau bantuan istimewa, kata Mathias Eick, jurucakap bagi operasi kemanusiaan EU.

“Kami telah memberi 86 juta euro kepada program tersebut setakat ini,” katanya kepada AFP.

Turki adalah rumah kepada kira-kira 3.5 juta pelarian Syria, dan kebanyakan mereka yang mendapat manfaat daripada program itu adalah warga Syria. Mengikut data UNICEF, kira-kira 600,000 kanak-kanak Syria yang masih dalam usia persekolahan sedang mengikuti pendidikan di Turki, manakala 400,000 lagi tidak.

Beratus-ratus, mungkin beribu-ribu pelajar yang telah mendaftar secara rasmi untuk pengajian mereka, berakhir tidak bersekolah kerana melakukan pekerjaan dan membantu keluarga-keluarga mereka untuk menampung kehidupan.

Di sekolah Fatmeh di Adana, guru akan mencatat pelajar-pelajar yang tidak hadir ke sekolah dan menghubungi ibu bapa mereka untuk memujuk mereka supaya anak-anak mereka itu kembali bersekolah, dengan mengikuti program-program yang diberikan sebagai satu insentif.

“Guru-guru yang berada di sekolah mampu meyakinkan ayah saya dengan menjelaskan bagaimana bantuan itu dapat membantu,” katanya. “Ianya tidak sukar kerana dia selalu menyarankan kepada saya untuk pergi ke sekolah, tetapi saya yang cuba membantu menguruskan hal-ehwal di dalam rumah.”

Moussab yang berusia 12 tahun, juga dari Aleppo, mendapati dirinya kembali ke sekolah tiga minggu lalu selepas tidak menghadiri penggal pertama persekolahan tersebut.

“Kami memerlukan duit itu, jadi saya pun tidak bersekolah kerana melakukan pekerjaan di bengkel tukang jahit. Saya memperolehi 500 lira sebulan,” katanya.

Reem Zeidane, salah seorang pentadbir sekolah, berkata baru-baru ia berjaya membawa kembali 45 daripada 150 kanak-kanak yang tidak menghadiri kelas di persekolahan itu.

“Pembayaran ini memberi perbezaan besar kepada keluarga-keluarga berkenaan, terutama bagi mereka yang mempunyai empat atau lima kanak-kanak,” kata Zeidane.

Pihak berkuasa Turki dan UNICEF juga telah menubuhkan sebuah program pendidikan ‘tidak formal,’ termasuklah kursus Turki, untuk kanak-kanak dan para remaja pelarian yang belum pernah menghadiri persekolahan selama sekurang-kurangnya tiga tahun.

Sebagai sebahagian daripada program ini, Ali yang berusia 13 tahun telah mengambil pelajaran bahasa Turki pada setiap pagi di pusat belia di Adana. Manakala pada sebelah petangnya pula, dia bekerja di bengkel kereta dengan gaji bulanan sebanyak 400 lira.

Ayah Ali, Hamza, tidak mempunyai pekerjaan selepas mengalami dua kemalangan di tempat kerjanya, manakala ibunya pula sedang sakit. Dengan mempunyai empat orang adik-beradik perempuan, tiga daripada mereka telah bersekolah, manakala dia adalah pencari nafkah utama.

“Jika satu hari keadaan kami bertambah baik, saya akan berhenti kerja dan mendaftar untuk persekolahan,” katanya. – AFP