Cabaran besar menanti pengedar vaksin asia

SINGAPURA, 21 JAN – Daripada mengekalkan vaksin koronavirus dalam keadaan sejuk dalam suhu tropika sehinggalah memastikan ia mencapai pulau terpencil, pengedar terkemuka ubat-ubatan sedang bersiap siaga bagi cabaran utama menghantar vaksin-vaksin ke seluruh Asia.

Hanya sebilangan kecil negara di rantau ini, yang secara amnya tidak terjejas teruk oleh virus COVID-19 berbanding kebanyakan negara di Barat, sudah memulakan kempen inokulasinya. Namun kempen dijangka meningkat dalam bulan-bulan akan datang dan pengedar berdepan ujian getir.

Salah sebuah syarikat pengedar terbesar Asia ialah Zuellig Pharma yang mempunyai kira-kira 85 gudang di seluruh rantau dan boleh menyimpan vaksin dalam suhu teramat sejuk dan satu rangkaian pengedaran yang maju.

Apa yang penting ialah ‘rangkaian penyimpanan sejuk beku’ – bagi memastikan vaksin disimpan pada suhu rendah semasa dihasilkan, diterbangkan ke luar negara, disimpan dalam gudang dan dihantar ke hospital-hospital dan pejabat-pejabat doktor.

“Rangkaian penyimpanan sejuk beku bagi vaksin adalah sesuatu yang amat penting, yang pertama dan diutamakan bagi keselamatan pesakit,” kata Tom Vanmolkot, naib presiden eksekutif syarikat tersebut bagi pengedaran dan perkhidmatan pelanggan memberitahu AFP.

“Kita tidak boleh mengedarkan vaksin yang dibiarkan di luar rangkaian penyimpanan sejuk beku,” tambahnya, semasa kunjungan ke gudangnya di Singapura, salah sebuah daripada hanya beberapa negara Asia yang sudah pun memulakan kempen inokulasinya.

Beberapa negara seperti Filipina, Indonesia dan Kemboja di mana suhu sering kali melonjak lebih 30 darjah Celsius agak sukar bagi vaksin.

Vaksin Pfizer-BioNTech memerlukan ia disimpan pada suhu -70 darjah Celsius dan sebaik dikeluarkan untuk kegunaan, boleh disimpan pada dua sehingga lapan darjah Celsius untuk lima hari. Manakala vaksin Moderna boleh dismpan pada suhu -20 darjah Celsius dan vaksin China dari Sinovac pula pada dua sehingga lapan darjah Celsius. – AFP

Seorang kakitangan berdiri di hadapan penyimpanan sejuk beku yang akan digunakan untuk menyimpan vaksin koronavirus di kemudahan Zuellig Pharma di Singapura. Pengedar vaksin tersebut meskipun mempunyai kemudahan besar untuk vaksin COVID-19, namun berdepan cabaran meluas untuk mengedarkannya ke seluruh Asia. – AFP