Cabaran buat ibu bapa

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Pembelajaran dalam talian bagi para pelajar di negara ini berikutan gelombang kedua penulangan COVID-19 bukan saja memberi cabaran kepada pelajar sendiri malah ibu bapa yang turut memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka tidak tercicir.

Untuk menggalas tanggungjawab sebagai guru sokongan semasa pandemik, ia bukan satu perkara yang mudah dan ini lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang bekerja.

Beberapa orang penjaga yang ditemui, rata-ratanya berkata bahawa mereka mungkin dapat menyediakan kemudahan kepada anak-anak tapi masih berdepan dengan masa yang terhad yang menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa.

Lebih sukar apabila kedua-dua ibu bapa yang terpaksa keluar bekerja sehingga ada kalanya tidak dapat memantau sesi pembelajaran anak-anak di rumah terutama bagi anak-anak yang mesti dibimbing menggunakan kemudahan komputer.

Walaupun begitu, ini adalah sebahagian norma baharu yang perlu diharungi dalam menyokong usaha Kementerian Pendidikan untuk terus mendidik anak bangsa.

Anak-anak melaksanakan tugasan yang diberikan oleh guru.
Antara aktiviti kerja sekolah yang diberikan menerusi pembelajaran dalam talian.

Dayang Zarinah binti Haji Kahan berkata, beliau sering kali mengingatkan anak-anaknya untuk mendisiplinkan diri dalam membuat tugasan sekolah.

“Disiplin amat penting dalam memastikan semua kerja sekolah dilaksanakan mengikut apa yang dikehendaki oleh guru masing-masing,” jelasnya.

Beliau yang juga merupakan kakitangan awam akan memastikan anak-anak memulakan pembelajaran sama seperti waktu persekolahan iaitu pukul 7:30 ke 8 pagi.

Pada masa ini, kerajaan juga telah melaksanakan pelan kelangsungan perniagaan (BCP) bagi sesebuah kementerian dan jabatan yang mana ada sebahagian ibu bapa melakukan kerja dari rumah (WFH) dan ini juga dapat memantau aktiviti sekolah sambil membuat tugasan pejabat.

“Jika tugasan sekolah tidak dapat diselesaikan pada sebelah pagi dan petang, tugasan tersebut akan diselesaikan pada sebelah malam,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Meya yang mempunyai seorang anak yang mengikuti kelas Sena juga berusaha untuk memberi yang terbaik, walaupun tidak sehebat penyampaian guru dan ia pengajaran perlu dibuat secara one-to-one.

Beliau seterusnya menjelaskan, mengajar kanak-kanak dalam kelas Sena cukup mencabar dan memerlukan kesabaran selain itu, kerja-kerja sekolah yang diberikan juga berbeza dengan kerja sekolah untuk kanak-kanak normal.

Selain perlu memantau empat anak dalam kelas normal yang lain, beliau yang juga bekerja terpaksa membahagikan masa dan kebiasaannya dibuat pada sebelah malam.

“Dalam situasi ketika ini, ibu bapa dan guru perlu saling bekerjasama dan membantu antara satu sama lain untuk kebaikan pembelajaran anak-anak,” jelasnya.