Cabaran buat puak tradisi di Iraq

PEMBUKAAN sebuah hotel baharu telah membangkitkan cabaran khususnya bagi adat dan tradisi beberapa puak di wilayah Anbar di barat Iraq, di mana kebanyakan penduduk tempatan secara tradisionalnya mengalu-alukan kedatangan orang ramai dan para pelancong ke rumah mereka.

Di tengah-tengah Ramadi, ibu kota wilayah tersebut, bangunan tinggi itu diterangi dengan lampu neon dan tertera perkataan ‘Rose Plaza Hotel’ yang ditulis dalam Bahasa Arab dan juga dalam Bahasa Inggeris.

Hotel yang mempunyai 80 buah katil itu dibina oleh seorang ahli perniagaan Iraq dan telah menyebabkan keadaan huru-hara di Anbar, sebuah wilayah padang pasir yang begitu luas di barat Baghdad, ia sangat luas sehingga kawasan itu bersempadan dengan Syria, Jordan dan juga Arab Saudi. Dengan mengenakan pakaian yang cantik dan rambut disikat kemas, pemilik hotel, Mohammed Kassar bersedia untuk mempertahankan projeknya itu.

“Kami di sini merupakan penduduk sebuah wilayah yang baik hati dan memberikan keselesaan,” kata lelaki yang berusia 29 tahun itu kepada media. “Tetapi ia agak lucu, di mana wilayah ini merupakan wilayah yang ketiga terbesar di Iraq dan bersempadan dengan tiga buah negara namun tidak mempunyai sebuah hotel,” jelas Mohammed Kassar.

Anbar telah ketinggalan jauh di mana sebelum ini Anbar merupakan benteng lama pemberontakan anti-Amerika Syarikat, ia kemudiannya ditakluki oleh kumpulan IS dan selepas itu Anbar menjadi hab untuk para pelancong dan pelabur yang cuba untuk memperluaskan lagi perniagaan mereka.

Hotel yang mempunyai 80 buah katil itu dibina oleh seorang ahli perniagaan Iraq dan telah menyebabkan keadaan huru-hara di Anbar, sebuah wilayah padang pasir yang begitu luas di barat Baghdad. – AFP
Di tengah-tengah Ramadi, ibu kota wilayah tersebut, bangunan tinggi itu diterangi dengan lampu neon dan tertera perkataan ‘Rose Plaza Hotel’ yang ditulis dalam Bahasa Arab dan juga dalam Bahasa Inggeris. – AFP
Perhiasan dalaman yang terdapat di dalam hotel tersebut yang menarik dan selesa. – AFP

Tetapi semenjak Ramadi berjaya ditakluki semula oleh pihak berkuasa Iraq pada tahun 2016, terdapat banyak pembinaan semula dijalankan seperti projek perumahan, bangunan komersial baharu yang diharap berjaya menarik pelbagai usahawan dari seluruh Iraq.

Seorang ahli perniagaan Iraq, Louai Rafe merasa gembira dengan terbinanya Hotel Rose Plaza. Rafe beranggapan dengan adanya hotel ini, ia akan dapat menyelesaikan beberapa kerja pentadbiran di Anbar yang perlu diselesaikan dan kembali ke ibu kota Baghdad yang terletak 100 kilometer jauhnya.

Kebanyakan urusan yang dilakukannya di Anbar memakan masa yang lama untuk diselesaikan dan dia memutuskan untuk menempah serta menginap di hotel baharu itu.

“Apabila saya datang ke sini, saya akan tidur dan bermalam di rumah seorang kawan dan saya malu untuk mengganggu dia lagi,” kata Rafe. “Hotel ini dibukakan untuk kunjungan orang ramai malah ia berfungsi untuk menjadikan kehidupan setiap invidu atau pelancong lebih mudah dan senang,” tambah Rafe.

‘Hotel memusnahkan reputasi kami’

Namun di Anbar, kesejahteraan penduduk ditadbir oleh puak-puak rantau dan diselaraskan dengan adat istiadat leluhur mereka. Asas hospitaliti adalah sangat penting, di mana kebanyakan penduduk luar dijemput untuk makan makanan yang enak dan bermalam di rumah-rumah mereka. Apa yang menarik, rumah-rumah juga dibina dengan perhiasan-perhiasan selamat datang dan dewan juga dibina untuk memberikan ruang yang paling besar dan mengagumkan.

Situasi ini memang benar malah beberapa buah keluarga mengurangkan ruangan rumah-rumah mereka untuk disediakan buat para tetamu. Sebuah hotel telah dibina sebelum ini namun belum siap di Ramadi dan ia seolah-olah menjelaskan satu kegagalan apatah lagi tertera dengan jelas bangunan itu yang belum selesai dan terbengkalai di kawasan pusat bandar.

Sebuah firma dari Turki terpaksa mengabaikan projek itu pada tahun 2014, ketika gerakan kumpulan IS menakluki kawasan bandar itu. Penduduk turut berjenaka bahawa kumpulan Jihad turut menghindari diri mereka dari hotel tersebut.

Namun sesetengah penduduk Anbar turut mengambil kesempatan dengan terbinanya hotel baharu ini sebagaimana yang dilakukan oleh Mohammed Ahmed yang berusia 28 tahun. Dia telah menempah sebuah bilik di hotel tersebut untuk berbulan madu. “Saya tidak mempunyai tempat yang menarik untuk dikunjungi dan hotel ini merupakan satu alternatif yang baik,” kata Ahmed kepada media.

Pemilik hotel ini turut berharap dapat menarik pelanggan dan mengembangkan lagi perniagaan serta mengalu-alukan perwakilan-perwakilan tertentu untuk mengadakan persidangan pembinaan semula dan sidang kemuncak untuk masa depan Iraq selepas di bawah taklukan IS.

Tetapi bagi sesetengah penduduk, hotel tersebut masih menjadi ancaman kepada adat dan juga tradisi di rantau tersebut.

“Hotel-hotel ini tidak pernah wujud dalam tradisi ayah dan nenek kami,” kata Sheikh Ibrahim Khalil Al-Hamed, seorang dermawan di kawasan itu dan berusia 52 tahun. “Hotel-hotel ini mampu memusnahkan reputasi kami,” tambah Sheikh Ibrahim. – AFP