Cabaran Bukit Kindana 14 Mac

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Bunga dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Begawan Athlete akan menganjurkan Cabaran Bukit Kindana 2021 bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37 bertempat di Taman Rekreasi Bukit Kindana pada 14 Mac.

Cabaran akan diadakan secara ganti-ganti di mana setiap pasukan mesti terdiri daripada dua orang peserta lelaki dan seorang peserta wanita dengan tiada had umur ditetapkan, menurut kenyataan dikeluarkan penganjur.

Setiap peserta dimestikan untuk membuat yuran pendaftaran, yang merangkumi pingat bagi setiap peserta dan sarapan pagi serta tambang perahu ulang-alik akan diaturkan semasa acara.

pendaftaran adalah terhad dan akan ditutup sebaik sahaja jumlah penyertaan mencapai 60 buah pasukan.

Juara cabaran akan memenangi hadiah wang tunai $300 berserta hamper, sementara tempat kedua dan ketiga, masing-masing akan menerima wang tunai $200 dan $100 berserta hamper.

Manakala hadiah turut diberikan kepada pasukan di tempat keempat dan kelima.