Thursday, April 18, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Cabaran dihadapi petani kacang

    PAOUA, REPUBLIK AFRIKA TENGAH – Sambil membongkok melakukan kerjanya, Marissa mengopek kacang di bawah terik matahari dengan peluh bertitisan di wajahnya.

    Menanam kacang tanah merupakan aktiviti utama di wilayah Paoua di Republik Afrika Tengah, kira-kira 500km di barat laut ibu kota Bangui. Tetapi bagi kebanyakan penanam, kehidupan adalah pertempuran harian.

    Mula-mula, mereka perlu menjaga tumbuhan, menuai kacang dan mengopek kulitnya. Dan kemudian mereka terpaksa menghadapi kecurian, peras ugut atau lebih teruk lagi, di wilayah di mana pemberontak dan pasukan pro-kerajaan berperang.

    Pekan Paoua kerap menjadi sasaran kumpulan bersenjata, terutamanya gerakan 3R yang kuat, antara beberapa di rantau ini yang berusaha mengawal perniagaan kacang tanah. Sejak beberapa bulan lalu, pemberontak telah menanam bahan letupan di sepanjang jalan utama untuk melambatkan kemaraan pasukan pro-kerajaan.

    “Terlalu banyak ancaman dan kecurian,” kata Celestine Inforo, 33, mengupas kulit kacang bersama Marissa dan puluhan yang lain di pinggir Paoua.

    Celestine Inforo memasukkan kacang tanahnya ke dalam beg di Paoua, barat laut Republik Afrika Tengah. – AFP
    Seorang wanita sedang mengeringkan kacang sebagai sebahagian daripada proses transformasi artisanal. – AFP
    Kelihatan beberapa orang lelaki menimbang karung berisi kacang tanah. – AFP

    “Kami terpaksa menjual hasil kami dengan cepat dan pada harga yang rendah.”

    Wanita itu mengasingkan kulit halus kacang dengan menuangnya ke tanah dari ketinggian bahu. Inforo dan rakan sekerjanya masing-masing mengisi beberapa karung dalam beberapa jam, kemudian sepasang lembu mengangkut hasil hari itu ke bilik simpanan selamat yang dipinjamkan oleh pertubuhan bukan kerajaan Oxfam.

    Di luar bilik stor, setiap beg ditimbang dan direkodkan antara 35 dan 45kg. Di bandar itu, seguni kacang berkulit berharga sekitar 10,000 CFA franc, bersamaan dengan AS$17. Ini jauh berbeza daripada harga di Bangui, di mana satu guni boleh dijual antara 20,000 dan 30,000 CFA franc, kata Jean-Paul Ndopaye, presiden Kesatuan Penanam Padi Paoua.

    Pengeluaran sangat melebihi permintaan di rantau ini, menurunkan harga. Impaknya adalah dramatik di sebuah bandar dengan penduduk kira-kira 40,000, memandangkan “80 peratus penduduk Paoua mempunyai aktiviti berkaitan dengan kacang”, menurut Noel Zingani, ketua pejabat Oxfam tempatan.

    Apabila harga rendah menjejaskan seluruh industri di Paoua, Marissa hampir tidak memperolehi 250 CFA franc, sekitar AS$0.43, untuk setiap beg yang diisinya.

    Di wilayah Ouham-Pende yang lebih besar, Program Makanan Sedunia (WFP) mengatakan kekurangan zat makanan berada pada tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini, diukur pada Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC).

    “Sekitar 61 peratus daripada penduduk berada dalam fasa tiga krisis dan dalam fasa empat kecemasan makanan,” kata Mahoua Coulibaly, pengurus tempatan agensi PBB.

    Di bawah redup pokok mangga, tiga wanita menghasilkan minyak dari kacang tanah, mentega dan batang ‘kuli-kuli’, yang mempunyai kandungan nutrisi protein dan serat semula jadi.

    Marie memanggang kacang, mengacau dengan berhati-hati agar tidak membakar dirinya. Sambil melutut di sebelahnya, Lena menguli mentega kacang di atas papan kayu. “Mengekstrak minyak dengan kaedah ini sangat meletihkan, ia boleh mengambil masa berjam-jam,” kata Moussa Issoufou, pengurus keselamatan makanan Oxfam.

    “Kita mesti mencari peralatan moden untuk memudahkan kerja mereka,” tambahnya, yakin ini adalah satu-satunya cara untuk kaum wanita itu memperolehi lebih daripada yang dilakukan secara manual. “Masalahnya ialah pemprosesan. Inilah yang mesti dilaburkan untuk kesejahteraan penduduk, tetapi buat masa ini negara kekurangan dana,” kata Coulibaly. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    29 pemberontak ditembak polis

    NEW DELHI, 17 APRIL - Polis di India menembak sekurang-kurangnya 29 pemberontak Maois di Chhattisgarh kelmarin, menurut pihak berkuasa, tiga hari sebelum permulaan pilihan...