Cabaran ekstrem 17 Nov

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Para penggemar sukan lasak yang ingin meneroka kemampuan mereka atau mereka yang inginkan cabaran ekstrem berpeluang menyertai cabaran berhalangan terbesar di negara ini apabila The RBAF Alpha Challenge! akan diadakan pada 17 November nanti.

Cabaran dinamik yang dikendalikan bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan D’Sunlit Sdn Bhd itu nanti akan lebih menarik, lebih sukar dan menyeronokkan di bawah terik matahari.

Sehubungan itu, majlis menandatangani perjanjian penajaan untuk acara yang akan diadakan di kawasan Pantai Tungku itu telah diadakan di D’Sunlit Sdn Bhd, petang tadi.

Hadir menandatangani perjanjian bagi pihak D’Sunlit Sdn Bhd ialah Pengarah Urusannya, Jackson Ting dan Pengurus Operasi D’Sunlit, Ngu Tiing Siang bersama para penaja yang terdiri daripada Datastream Technology Sdn Bhd (DST), Aewon Garment and Embroidery, Redbull, Nestle Milo dan Cuckoo International (B) Sdn Bhd.

Wakil penaja-penaja lain yang hadir ialah Ardhini Real Estate Agency, NBT (B) Sdn Bhd, Bank of China, LSL Sdn Bhd dan Tele-Directories.

Menurut kenyataan D’Sunlit Sdn Bhd, seramai 2,000 orang peserta telah mendaftar untuk menyertai The RBAF Alpha Challenge! tahun ini dengan sebahagian daripada keuntungan akan didermakan kepada Dana Anak-anak Yatim ABDB.

The RBAF Alpha Challenge! tahun ini masih menyerupai latihan ketenteraan tahun lepas dengan laluan berhalangannya dijangka lebih sukar, bagaimanapun, para peserta mempunyai cabaran pilihan dengan Kategori 3km, 5km dan 10km.

Kategori 3km dan 5km adalah cabaran yang paling sesuai bagi sesiapa sahaja yang ingin mencari pengalaman menempuh halangan bersama keluarga, anak-anak dan rakan-rakan. Cabaran berhalangan sejauh 10km pula merupakan cabaran kompetitif yang memenuhi keperluan individu yang mahu mencabar mental dan fizikal mereka ke tahap lebih ekstrem.

Untuk maklumat lanjut, bolehlah menghubungi D’Sunlit Sdn Bhd.

Bank of China dan D’Sunlit bertukar-tukar dokumen selepas menandatangani perjanjian, kelmarin.
D’Sunlit Sdn Bhd dan DST menandatangani perjanjian selaku penaja utama The RBAF Alpha Challenge!