Oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Pasukan bola keranjang tempatan, Beruang Blazers ditewaskan oleh pasukan bola keranjang Kuching Lord Tigers dengan mata 83-98 malam tadi dalam perlawanan pembukaan GRAND Borneo Invitational Challenge yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Pasukan Kuching Lord Tigers, yang merupakan juara Liga Bola Keranjang EBL Yuwang tahun lepas mendahului seawal suku pertama.
Meskipun dengan ketinggalan 17 mata daripada Kuching Lord Tigers selepas suku ketiga, Beruang Blazers tidak menyerah kalah. Mereka telah memberikan satu persembahan bersemangat di akhir perlawanan, berjaya mengurangkan kelebihan Tigers kepada hanya 10 mata dengan permainan berbaki 10 minit dalam suku keempat.
Namun dengan pengalaman dalam kejohanan besar, Kuching Lord Tigers berjaya mengekalkan permainan mereka untuk mengekang kemaraan Beruang Blazers untuk memenangi perlawanan pertama.
Jurulatih Beruang Blazars, Mendres Rosito Rabboni selepas perlawanan berkata: “Saya rasakan lebih banyak persiapan perlu dibuat untuk bersaing dalam kejohanan besar. meningkatkan lagi kemahiran dan pengalaman pemain-pemain tanah air, kami perlu menghantar mereka berlatih atau bersaing di luar negara, keluar dari zon selesa.”
Acara Pembukaan Rasmi kejohanan itu telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan beberapa orang ahli Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam.
Kejohanan tersebut diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta. Ia bertujuan untuk memperlihatkan bakat-bakat pemain bola keranjang Borneo serta menaikkan nama negara melalui sukan itu.
GRAND Borneo Invitational Challenge, yang berlangsung bermula hari ini hingga 14 Oktober 2017, dianjurkan oleh Soon Lee Group of Companies dengan kerjasama Kementeria Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam.