Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Dalam sama-sama memeriahkan lagi acara Bandarku Ceria yang diadakan setiap hujung minggu, Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Kampung Panchor Mengkubau dengan kerjasama CAPT FRED’s Fishing Supply akan mengadakan Cabaran Joran Bandarku Ceria yang akan berlangsung pada 2 April ini di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.
Pertandingan tersebut dibukakan kepada orang ramai dengan bayaran penyertaan $5 dan setiap penyertaan hanya dibenarkan menggunakan dua joran yang didaftarkan daripada pihak penganjur sahaja, di mana setiap joran hanya dihadkan kepada dua mata kail sahaja.
Manakala daripada aspek umpan pula, para peserta diberikan kebebasan untuk menggunakan pelbagai jenis umpan semasa pertandingan tersebut. Setiap tangkapan perlulah menepati ciri-ciri yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.
Para pemenang bakal menerima barangan peralatan memancing bagi tiga pemenang kategori tangkapan terberat dan 10 lagi pemenang akan menerima hadiah sumbangan CAPT FRED’s Fishing Supply.
Menurut Bendahari MPK RPN Kampung Panchor Mengkubau, Awang Nazrie Saie, penganjuran cabaran tersebut antara lain bertujuan bagi mengutip dana untuk tabung MPK RPN kampung berkenaan untuk digunakan bagi projek-projek kemasyarakatan dan aktiviti sukan.
Beliau juga dalam pada itu mengharapkan lebih banyak aktiviti akan dianjurkan oleh MPK RPN kampung berkenaan bagi sama-sama mengumpul dana bagi kegiatan-kegiatan bermanfaat untuk kesejahteraan penduduk kampung tanpa mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.