Thursday, October 5, 2023
23.8 C
Brunei

    -

    Cabaran Jurupulih mendepani anak istimewa

    Gambar Bernama

    JOHOR BARU – Mendepani kanak-kanak berkeperluan khas seperti Jurupulih Perubatan Cara Kerja memerlukan kekuatan mental dan kesabaran yang tinggi kerana perlu menghadapi kerenah dan perubahan tingkah laku insan istimewa itu.

    Bagi Siti Noraisikin Mohd Jazuli, 41, cabaran untuk menyantuni lebih 80 kanak-kanak menghidap Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD), Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dan sebagainya, adalah untuk menarik perhatian supaya mereka fokus lebih lama dalam pembelajaran.

    “Misalnya, peralatan terapi adalah teknik membantu kanak-kanak ini untuk tenang. Kita guna penggabungan pendekatan seperti pembelajaran berasaskan pergerakan, pengubahsuaian tingkah laku dan pembelajaran berasaskan motor deria kerana mereka perlukan mencuba dan ralat.

    “Tugas ini kena ada semangat dan minat mendalam kerana ada antara pelajar datang ke pusat terapi dalam keadaan menangis sepanjang sesi selama satu jam jadi sebagai jurupulih perubatan cara kerja perlu mahir menangani perkara ini,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Pemilik Indebrain Occupational Theraphy Centre yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam Terapi Cara Kerja Kanak-kanak itu berkata antara cabaran terbesar lain adalah untuk mendepani ibu bapa yang tidak dapat menerima bahawa anak mereka diuji dengan sedikit kekurangan.

    Siti Noraisikin Mohd Jazuli bersama pembantunya pada sesi terapi bersama kanak-kanak istimewa ketika tinjauan Bernama di Indebrain Occupational Theraphy.
    Seorang jurulatih perubatan bersama sorang kanak-kanak istimewa ketika sesi terapi.

    Siti Noraisikin berkata bidang yang diceburinya itu bukan sahaja memberi bantuan kepada kanak-kanak tetapi bersifat keseluruhan termasuk ibu bapa, penjaga dan guru di sekolah kerana rawatan itu akan membantu meningkatkan kemahiran motor kanak-kanak sekali gus mengembangkan kemahiran mereka.

    “Sebagai contoh ada satu kes di pusat saya ini, anak didiagnosis oleh hospital kerajaan tetapi ibunya tidak dapat terima keadaan anaknya yang menyebabkan dia menolak atau dipanggil defaulted from the hospital…sudah ada janji temu tetapi dia memilih untuk tidak mahu meneruskan kerana tidak dapat menerima hakikat itu.

    “Ia juga antara cabaran untuk kami sebagai pendidik kerana kita perlu memastikan ibu bapa ini menerima keadaan anak tersebut sebab dengan penerimaan itu, sebenarnya ibu bapa telah pun memberikan peluang lebih besar kepada anak,” kata ibu kepada lapan anak itu.

    Seorang lagi Jurupulih Perubatan Cara Kerja, Nurhamizah Hasan, 23, yang telah berkhidmat selama dua tahun di Indebrain Occupational Theraphy Centre berkata pengurusan emosi amat penting ketika menyantuni kanak-kanak istimewa ini.

    “Dalam sesi terapi, saya akan time out sebentar untuk tenangkan diri sebelum didik kanak-kanak ini kerana saya harus nampak gembira di hadapan mereka supaya golongan ini tidak takut dengan kita.

    “Cabaran lain adalah untuk memberi ibu bapa ini memahami keadaan sebenar anak-anak kerana ada ibu bapa datang ke sini dengan harapan tinggi. Nasihat saya kepada ibu bapa, jangan ukur kejayaan anak-anak ini dari segi akademik tetapi ukurlah dari segi pengurusan kehidupan, tingkah laku dan kemahiran yang ada. Kembangkan minat anak-anak supaya mereka berjaya dengan cara mereka,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kanada tegaskan perlu ‘kehadiran diplomatik kuat’ di India

    NEW DELHI, 4 OKT - Kanada kelmarin menegaskan keperluan untuk mempunyai kehadiran diplomatik yang kukuh di India selepas muncul laporan bahawa kerajaan India mahu...