KEMBARA penceritaan secara menyeluruh dalam permainan video sebagaimana yang ditampilkan dalam Heavy Rain dan Beyond Two Souls terbitan Quantic Dream memang berjaya mengumpulkan pengikutnya yang tersendiri.
Rata-rata ramai yang menzahirkan komen positif berhubung konsep yang ditampilkan dalam permainan video ini di mana ia memperlihatkan seni grafik yang cukup realisitik, aksi yang menarik, pilihan dialog yang bervariasi, suara latar yang segar dan setentunya latar yang ditampilkan dalam permainan video ini iaitu bandar raya Detroit, Michigan itu sendiri.
Kini, sebuah lagi permainan video terbaru terbitan daripada studio yang sama berjudul Detroit Become Human turut menampilkan konsep yang sama di mana ia lebih menumpukan kepada cabaran kehidupan sewaktu kecanggihan teknologi mula mendominasi dunia.
Kembara tiga android
Kisah yang ditampilkan dalam permainan video ini bermula apabila Markus, android lelaki yang berusaha untuk meyakinkan pihak polis berhubung sebuah kes pencurian.
Tanpa diduga sistem yang telah diprogram pada cip Markus kelihatan gagal berfungsi sehingga dia bertindak ganas dan dikenali sebagai deviant android dan terpaksa ditembak oleh pihak polis.

Sebaik tersedar selepas terkena tembakan tersebut, Markus menyedari bahawa dirinya dikelilingi oleh android yang menerima nasib yang sama dan turut bertemu dengan android lelaki bersama Jericho.
Kini mereka berdua berusaha untuk kembali menuntut keadilan dan berusaha untuk mendapatkan hak bagi android seperti mereka untuk mendapatkan kehidupan yang aman sebagaimana manusia yang lain.
Sementara, Connor pula adalah android yang memegang jawatan polis dan telah dihantar oleh CyberLife dalam melakukan sebuah misi bersama Leftenan Hank Anderson, seorang kaki minum dan juga memang bencikan android.
Dalam misi tersebut ternyata, mereka melalui pelbagai cabaran sehingga ada kalanya turut mengancam nyawa leftenan tersebut.
Malah ada juga di antara ketikanya terdetik di hati Connor sama ada apa yang dilakukannya adalah benar atau pun membelot status dirinya sendiri yang juga merupakan android.
Manakala, Kara pula adalah android wanita yang bertugas menjadi seorang penjaga kanak-kanak bernama Alice di bawah majikannya Todd Williams.
Suatu hari, Kara menyedari bahawa kanak-kanak perempuan yang dijaganya itu juga merupakan satu android.
Dari situ, Kara merancang untuk membawa bersama Alice lari ke Canada yang dipercayai sebagai lokasi penempatan selamat untuk android seperti dirinya.


Lalu apakah misi ketiga-tiga android ini bakal berjaya sebagaimana yang mereka inginkan dan kesemua itu adalah terletak di bawah kawalan pemain sendiri.
Atur cerita pilihan tersendiri
Pada dasarnya, Detroit Become Human merupakan sebuah permainan video yang ditampilkan dari perspektif third person di mana jalan ceritanya boleh diatur sebagaimana yang diinginkan oleh para pemain.
Analog kanan pada joystick digunakan untuk melakukan kawalan interaksi karakter bersama dengan objek dan turut berfungsi untuk memerhatikan keadaan sekeliling.
Sementara analog kiri pada joystick pula digunakan untuk mengawal pergerakan karakter dan butang R2 pula digunakan untuk bertindak awas kerana berasa risau sekiranya terdapat sebarang serangan hendap yang dilakukan.
Dialog memang memainkan peranan penting dalam permainan video ini malah terdapat juga beberapa pilihan jawapan yang harus dipilih sendiri oleh pemain untuk menentukan kesudahan kisah yang ditampilkan.
Di samping itu, pemain juga berpeluang untuk kembali kepada dialog yang diinginkan sekiranya tidak bersetuju dengan kesudahan yang diperolehi berikutan daripada jawapan yang diberikan sebelumnya.
Salah satu cabaran yang wajar untuk dihadapi pemain adalah untuk memilih jawapan pada dialog dengan secepat mungkin sebelum tempoh masa yang diberikan itu berakhir.
Maka, sekiranya anda inginkan sebuah permainan video berkonsepkan berinteraksi ini jangan terlepas untuk mengalaminya sendiri dalam Detroit Become Human, yang dikeluarkan untuk platform PlayStation 4.