Cabaran kulinari kemuncak ‘Taste of Australia’

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Dayangku Fatin Nasibah binti Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan telah dinobatkan sebagai juara cabaran kulinari ‘Taste of Australia’ Brunei yang berlangsung di Hotel Radisson di sini, hari ini.

Hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong bersama Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nicola Rosenblum.

Dayangku Fatin Nasibah muncul juara dengan hidangan ‘Nasi Katok Aussie’ sekali gus membawa balik hadiah berupa tiket penerbangan untuk dua orang ke Brisbane, Australia.

Manakala itu, pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Awang Mohd Fadhlullah Muayyad bin Abdul Majid pula memenangi Kategori Kulinari dan Ryan Sim memenengi Kategori Belia, sementara itu, Kategori Terbuka pula dimenangi oleh Dayang Nur Haji Mustapa.

Kesemua pemenang telah dihakimkan oleh juara MasterChef Australia 2018, Sashi Cheliah bersama blogger makanan tempatan, Thanis Lim.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong menyampaikan hadiah kepada juara cabaran kulinari, Dayangku Fatin Nasibah binti Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan kelmarin. – Gambar oleh Pg Fairol RMF
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama para pemenang cabaran kulinari ‘Taste of Australia’ yang berlangsung di Hotel Radisson, kelmarin.

Cabaran berkenaan merupakan kemuncak Pesta Makanan Taste of Australia in Brunei yang berlangsung di hotel berkenaan, hari ini di mana 36 orang cef amatur dikehendaki membuat hidangan yang memaparkan sekurang-kurangnya satu bahan dari Australia dan Brunei.

Pesta yang mendapat sambutan ramai itu telah dimeriahkan dengan Sashi Cheliah membuat demonstrasi beberapa teknik masakan dengan menyediakan hidangan gril udang dengan Lemon Myrtle Butter dan rol stik daging.

PYT Nicola Rosenblum dalam ucapannya berkata, Sashi telah berjaya menarik perhatian orang ramai menerusi demonstrasi masakannya.

“Beliau menunjukkan pelbagai aspek tradisi masakan Australia daripada rasa kepada bahan-bahan dan cara bagaimana beliau boleh menjadi kreatif untuk menghasilkan makanan yang lazat,” tambah beliau.

Pelbagai pameran turut diadakan dalam acara yang mempamerkan pelbagai produk segar Australia yang terdiri daripada produk tenusu, daging, makanan asasi seperti madu dan beras.