Friday, December 6, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran mendidik anak OKU

    Sebagai seorang ibu kepada anak istimewa, aku sering kali mendengar orang berkata, ‘Awda seorang yang tabah’ atau, ‘Tuhan hanya memberi ujian ini kepada yang mampu.’

    Kata-kata itu indah untuk didengar, tetapi hakikatnya, perjalanan ini jauh lebih sukar daripada yang disangka orang luar.

    Anakku, Aisyah, dilahirkan dengan palsi serebrum. Usianya kini sembilan tahun, tetapi perkembangan fizikal dan mentalnya jauh berbeza daripada kanak-kanak lain seusianya.

    Ketika anak-anak lain sedang bermain dan berlari, Aisyah masih bergantung sepenuhnya kepada kami untuk makan, bergerak, bahkan hanya untuk duduk dengan betul. Setiap hari adalah perjuangan, dan setiap malam adalah doa agar aku diberi kekuatan untuk terus melangkah.

    Aku ingin berkongsi sedikit tentang cabaran harian yang kami lalui. Bermula dari pagi, aku perlu memastikan Aisyah mendapat terapi pergerakan sebelum dia boleh duduk tegak di kerusi khasnya. Menyediakan makanan bukanlah sekadar memasak; ia perlu dipotong halus dan kadang-kadang diadun kerana Aisyah menghadapi masalah untuk mengunyah.

    Gambar Canva

    Dia juga sering tertekan dengan bunyi kuat atau perubahan rutin, menyebabkan tantrum yang hanya boleh ditenangkan setelah berjam-jam.

    Namun, cabaran sebenar bukan hanya pada keperluan fizikalnya. Ia juga melibatkan mental dan emosi aku sebagai seorang ibu. Kadang-kadang aku tertanya-tanya, adakah aku telah melakukan cukup untuknya? Adakah aku telah berusaha sedaya mungkin untuk memastikan dia mendapat hak yang sama seperti anak-anak lain?

    Pelangi Kecil

    Nasihat Dang MP –

    Pelangi Kecil, perjalanan awda sebagai ibu kepada anak istimewa dipenuhi inspirasi. Seperti yang diceritakan, mendidik anak dengan palsi serebrum memang penuh cabaran fizikal, mental dan emosi. Tahniah atas kejayaan dan kesabaran awda selama ini.

    Dang MP ingin mengingatkan adalah penting untuk awda menjaga diri sendiri juga agar dapat terus memberikan yang terbaik untuk Aisyah.

    Dapatkan sokongan dari keluarga, rakan atau kumpulan sokongan yang dapat membantu meringankan beban awda. Carilah komuniti yang sama dengan awda supaya dapat berkongsi pengalaman, bertanyakan soalan dan bertukar-tukar fikiran. Melalui komuniti, awda boleh mencari inspirasi lain, berkongsi perasaan dan mendapat sokongan juga.

    Awda juga harus usahakan terapi berkala dengan pihak profesional untuk anak awda dengan komitmen yang tinggi supaya dapat mengikuti perkembangannya dengan baik.

    Menepis pandangan negatif masyarakat mungkin sukar, tetapi ingatlah bahawa setiap langkah kecil awda adalah bukti kasih sayang dan kekuatan awda terhadap Aisyah.

    Teruskan usaha, jaga komunikasi baik dengan keluarga, dan ketahuilah awda tidak keseorangan dalam perjalanan ini.

    Ramai orang yang sedia membantu dan berkongsi pengalaman mereka. Paling penting, awda telah melakukan yang terbaik untuk Aisyah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda