Cabaran pembelajaran dalam talian

Perasaan kecewa semakin memuncak tatkala lebih ramai keluarga di seluruh Amerika Syarikat memasuki minggu pembelajaran dalam talian kedua atau ketiga mereka, dan sesetengah ibu bapa berkata ia adalah minggu yang terakhir untuk mereka.

Di tengah pelbagai aplikasi pembelajaran, pertemuan video dan tugasan e-mel yang diluluskan sebagai pembelajaran di rumah semasa pandemik, beberapa ibu bapa yang kecewa dan keletihan memilih untuk memutuskan pembelajaran tahun akademik. Manakala yang lainnya menjadualkan kesemua tugasan sekolah anak mereka pada hujung minggu atau mengambil cuti dari kerja untuk membantu anak mereka dengan tugasan satu minggu dalam satu hari.

“Kami cuba menyelesaikannya pada minggu pertama. Kami menggabungkan jadual, dan apa yang kami dapati adalah memaksa seorang kanak-kanak menghadapi situasi pembelajaran palsu adalah amat sukar,” kata Alexandra Nicholson, di mana anak lelakinya belajar di sekolah tadika di bandar di luar Boston.

“Saya lebih suka melihatnya menonton filem klasik Godzilla dan bermain di laman belakang rumah dan berpura-pura memegang watak Jedi dan bukannya memerah otak menyelesaikan soalan matematik.”

Tekanan tersebut hanya menjadi lebih teruk untuk keluarga yang mempunyai ramai anak dalam gred berlainan, atau apabila ibu bapa bekerja untuk waktu yang lama di luar rumah mereka. Dalam sesetengah kes, abang atau kakak mesti memantau adik mereka pada waktu siang, sekali gus tidak mempunyai masa untuk menyiapkan kerja sekolah mereka.

Gambar yang dikeluarkan oleh Kara Illig menunjukkan anak lelakinya Eli Illig, 10, belajar menggunakan komputer di Ebensburg, Pa. – AP
Ainslie Illig, 8, menyiapkan kerja sekolah menggunakan komputer. – AP

Gambar yang dikeluarkan oleh Alexander Nicholson menunjukkan anak lelaki Henry Martinsen, menyediakan makanan di Quincy, Mass. – AP

“Saya fikir tekanan memang terasa lebih-lebih lagi keluarga yang berpendapatan rendah. Ia sungguh membebankan,” kata Rachel Pearl, ketua pegawai program untuk Kawan Kanak-Kanak Portland. Pertubuhan yang berpangkalan di Oregon itu menyediakan mentor untuk kanak-kanak berisiko.

“Kebanyakan keluarga telah pun terasa mereka tidak melakukan secukupnya apabila mereka bekerja keras dan saya bimbang mereka akan rasa mereka gagal melakukannya.”

Ibu bapa khuatir anak mereka ketinggalan di belakang, terutamanya dalam keluarga berpendapatan rendah. Dalam keluarga di mana ibu bapa memperoleh kurang daripada AS$50,000 setahun, 72 peratus berasa bimbang mengenai anak mereka tercicir dari segi akademik, berbanding dengan 56 peratus ibu bapa dalam keluarga berpendapatan tinggi, menurut tinjauan oleh The Associated Press-Pusat Penyelidikan Perhubungan Awam NORC pada akhir Mac.

Meghan Perrone, jururawat, tidak dapat membantu anak perempuannya yang berusia 8 tahun dengan kerja sekolahnya sehingga beliau pulang dari kerja dan telah menyelesaikan kerja memasak dan membersihkan dapur. Suaminya bekerja di rumah tetapi menghabiskan sepanjang minggu di tingkat bawah rumah kerana kerjanya kebanyakannya dilakukan menerusi telefon. Ia meninggalkan anak perempuan mereka yang berada dalam gred dua menyelia adiknya yang berusia 2 tahun.

Akibatnya, keluarga itu menunda bebanan tugasan sekolah mingguan ke hujung minggu dan cuba memadatkan seberapa banyak tugasan dalam dua hari jika boleh. Pada Sabtu baru-baru ini, suami dan anak perempuan Perrone menyiapkan satu projek Sains pada pukul 10 malam.

“Kami tidak mempunyai masa untuk tidak bekerja. Sesetengah orang tidak bekerja dan mereka boleh membantu melakukan kerja-kerja sekolah, namun bagi kami, ia bukan satu pilihan,” kata Perrone, yang tinggal di Ebensburg, Pennsylvania.

Mereka yang mempunyai anak lebih tua mungkin dapat membiasakan diri dengan pembelajaran dalam talian, tetapi ibu bapa mesti memantau masa perbualan video dengan guru dan memastikan semua tugasan disiapkan.

Sarah Karpanty, 44, ibu kepada dua anak sekolah menengah di Roanoke, Virginia, berkata realiti mulai terasa pada minggu lalu apabila cuti musim bunga berakhir dan pembelajaran rumah bermula.

“Saya mahu menyembunyikan diri,” kata Karpanty, profesor biologi hidupan liar di Virginia tech yang juga mengajar pelajarnya sendiri dalam talian.

Anak lelakinya, berusia 12 dan 13 tahun, adalah berdikari namun masih memerlukan pemantauan dalam teknologi baharu itu. Kelas mereka membabitkan video yang dirakam dari guru, kuiz dalam talian dan panggilan interaktif Zoom.

“Apabila kesemua ini bermula, kami seperti, ‘Syukurlah anak-anak tidak terjejas,” katanya, merujuk kepada koronavirus itu sendiri. “Namun kami perlu berterus-terang, anak-anak memang terganggu.”

Banyak sekolah daerah menekankan kepada ibu bapa bahawa lengkung pembelajaran adalah suram, dan sesetengah guru cuba mengelak tarikh akhir harian, sebaliknya membenarkan pelajar belajar pada kadar mereka sendiri.

Guru sekolah tinggi California Susan Binder berkata teknologi itu boleh mengecewakan dan tidak sempurna. Sekolah menengah perlu bergantung pada aplikasi seperti Seesaw, Epic dan IXL, yang hanya merupakan alat untuk mempertingkatkan pembelajaran kelas atau berkongsi kerja pelajar dengan ibu bapa.

“Ia merupakan balutan yang kami gunakan pada luka besar. Kami hanya melakukan seberapa daya yang mampu,” kata Binder, yang menggunakan bilik darjah Zoom dan Google untuk mengajar ekonomi, sejarah AP dan kerajaan di Sekolah Tinggi El Cerrito berhampiran San Francisco.

“Video tidak dapat melihat wajah anak anda dan melihat kekeliruan. Hanya guru boleh melakukannya,” kata beliau.

Beliau bimbang generasi pelajar ini mungkin berakhir terjejas dari segi akademik, sosial dan emosi.

Di seluruh dunia, ibu bapa dan sekolah menghadapi cabaran yang sama.

Di Itali, pusat pertama virus di Eropah, sekolah telah mencuba pembelajaran dalam talian dengan kadar kejayaan yang tidak memberangsangkan. Di sesetengah kawasan yang terjejas teruk di Itali, banyak sekolah tidak mengadakan kelas selama beberapa minggu, dan seorang ibu berkata anak perempuannya yang belajar di sekolah tinggi tidak menghadiri kelas matematik selama dua bulan.

Kara Illig, ibu kepada tiga anak di Ebensburg, Pennsylvania, mengalami tekanan pada minggu lalu. Anak lelakinya dalam gred empat mempunyai enam tugasan Bahasa Inggeris yang perlu siap pada hari itu.

Anak perempuannya dalam gred dua perlu membina sebuah meja yang dapat menyokong kamus menggunakan kertas pencetak, kadbod dan pita perekat. Beliau tidak dapat memantau tugasan mereka, dengan empat akaun e-mel sekolah berlainan, 12 penstriman Google, dan masalahnya sendiri tatkala beliau beralih kepada kerja baharu sementara bekerja dari rumah.

“Saya rasa seperti saya telah gagal. Saya fikir, ‘Saya tidak mampu melakukannya,’” katanya.

“Ia adalah situasi yang dahsyat dan kami semua cuba menyesuaikan diri dan bertahan.” – AP