Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Meskipun berdepan cabaran internet semasa mengikuti pembelajaran di rumah saat pandemik COVID, kedua-dua pelajar Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah tetap berjaya menempuh Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2021 dengan cemerlang sekali gus mendapat keputusan 5A dalam semua mata pelajaran.
Awangku Muhammad Waiz Wazien bin Pengiran Ashwadol Bahri dan Dayang Aleesya Eryna Haziqah binti Azerin semasa ditemu bual pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dalam PSR yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan hari ini, masing-masing meluahkan rasa syukur dan gembira atas pencapaian cemerlang dan usaha yang dilakukan.
“Di sebalik kejayaan yang diperolehi ini, ibu bapa antara orang yang menjadi tulang belakang yang sering memberi sokongan dan bantuan, selain menghadiri kelas tambahan yang disediakan oleh pihak sekolah,” jelas Awangku Muhamad Waiz Wazien.
Ia turut disokong oleh Dayang Aleesya Eryna Haziqah yang mengatakan pencapaiannya itu adalah berkat doa ibu bapa yang tidak jemu-jemu memberikan dorongan dan semangat selain mendapat bim-bingan daripada guru-guru di sekolahnya.
Awangku Mumammad Waiz Wazien turut mengongsikan masalah internet yang dihadapi semasa pembelajaran di rumah turut dialami oleh kebanyakan pelajar lain.
Antara mata pelajaran paling mencabar adalah mate-matik, katanya, di mana ia memerlukan lebih banyak latihan untuk memahami formula dan teknik pengiraan.
Tetapi, katanya lagi, “Walaupun suasana pembelajaran tidak sama seperti secara bersemuka, saya tetap memanfaatkan peluang belajar secara atas talian itu dengan sering bertanyakan kepada guru-guru subjek.”
Manakala Dayang Aleesya Eryna Haziqah menjelaskan meskipun Peperiksaan PSR diganti dengan School Assessed Marks (SAM), ia tidak menjejaskan pembelajarannya.
“Antara langkah yang dilakukan semasa pembelajaran atas talian, lebih-lebih lagi untuk mempersiapkan diri dalam SAM, perkara yang sering dilakukan ialah membuat ulang kaji pelajaran dan bertanya kepada guru semasa sesi pembelajaran dibuat selain mengikuti kelas tuisyen,” ujarnya.
Beliau seterusnya berharap dengan keputusan yang diperolehi itu, ia akan menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha mencapai dan meningkatkan lagi apa yang telah diperolehi hari ini dan seterusnya untuk dapat berbakti kepada ibu bapa, keluarga dan juga negara.