Cabaran PSG sebelum bertemu United

PARIS, 8 Feb – Pertemuan Paris Saint-Germain (PSG) menentang Bordeaux tengah malam Ahad adalah peluang terakhir mereka untuk melakukan beberapa perubahan sebelum persaingan minggu depan menentang Manchester United, tetapi pendahulu Ligue 1 itu menghadapi beberapa isu besar untuk ditangani sebelum menuju ke Old Trafford.

PSG adalah pasukan pilihan apabila undian bagi pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dibuat, tetapi banyak perubahan dibuat sejak lapan minggu.

United mencatatkan 10 perlawanan tanpa kalah dengan sembilan kemenangan sejak pemecatan Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer dilantik sebagai penggantinya. Ia dilihat satu kenyataan yang menakutkan dalam persaingan pertama pada Rabu depan.

Sementara itu, pasukan kendalian Thomas Tuchel melebarkan jurang 10 mata di tangga teratas Ligue 1 dengan dua perlawanan di tangan ke atas pasukan-pasukan di bawah mereka ketika mereka bersedia untuk mengalu-alukan pasukan yang menghuni pertengahan carta, Bordeaux ke Parc des Princes, dan juga mara ke suku akhir Piala Perancis.

Bagaimanapun, mereka memerlukan masa tambahan untuk menewaskan pasukan divisyen tiga, Villafranchesur-Saone 3-0 dalam persaingan Piala pada pagi Khamis lalu, tiga hari selepas menyaksikan rekod tanpa kalah dalam liga mereka berakhir dengan kekalahan 2-1 kepada Lyon.

Mereka disingkirkan dari persaingan Piala Liga oleh Guingamp pada suku akhir bulan lalu, dan sejak itu Paris kehilangan Neymar akibat mengalami kecederaan metatarsal. – AFP