Cabaran tempuhi keperluan pembelajaran dalam talian

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN – Penutupan sekolah dan pusat pengajian tinggi dalam mengawal penularan COVID-19 atas nasihat dari Kementerian Kesihatan memberi cabaran baharu kepada warga pendidik untuk memastikan pelajar mereka terus dapat mengikuti pembelajaran.

Pembelajaran dalam talian seperti Google Classroom, Microsoft Team, Zoom dan lain-lain yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan terbukti cukup membantu guru dan pensyarah bagi membolehkan mereka berinteraksi secara langsung dengan pelajar.

Di samping itu, guru dan pensyarah turut memanfaatkan media sosial seperti WhatsApp dan e-mel dengan sebaiknya untuk menyampaikan pelbagai maklumat, arahan dan latihan, yang mana semua ini adalah untuk memastikan pembelajaran pelajar tetap berjalan lancar walaupun mereka tidak berada di dalam kelas atau bilik kuliah.

Setelah tiga minggu pelaksanaan pembelajaran dalam talian dibuat di semua sekolah-sekolah rendah di negara ini, media berpeluang mendekati pandangan dan respons yang diberikan oleh pihak sekolah, ibu bapa dan juga pelajar sendiri terhadap pembelajaran di rumah ini.

Home Learning Pack (HLP)

Dalam negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, Kementerian Pendidikan telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pengajaran dalam talian sejak tiga minggu yang lalu dalam usaha untuk terus memastikan pelajar dapat mengikuti pembelajaran mereka semasa berada di rumah.

Dayang Wardah ketika ditemu bual oleh media.
Colm Mcdermott mengatakan menggunakan dua kaedah pengajaran di sekolahnya.
Awangku Alif Wira Putra ketika menunjukkan pembelajaran secara dalam talian.

Walaupun begitu, pihak sekolah turut memainkan peranan penting untuk memastikan pelajar terus mendapat pendidikan dan dalam masa yang sama memberi keselesaan kepada ibu bapa dan pelajar dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.

Dalam kesempatan ini, media sempat menemu bual beberapa orang guru dari Sekolah Rendah (SR) Pusar Ulak di ibu negara yang turut menyokong terhadap usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan ke arah menuju pendidikan sepanjang hayat.

Menurut Guru Besar sekolah berkenaan, Colm Mcdermott semasa ditemu bual berkata bahawa pihak sekolah berkenaan telah menyediakan dua kaedah iaitu melalui penyediaan HLP dan juga pengajaran dalam talian bagi usaha memberikan pendidikan berterusan ketika berdepan dengan situasi ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, dalam dua minggu yang lepas setelah sesi pembelajaran bermula di rumah, pihak sekolah telah menyediakan HLP kepada pelajar.

“Setelah beberapa aspek dinilai, kebanyakan ibu bapa dan penjaga pelajar lebih selesa untuk menggunakan kaedah HLP,” tambahnya.

Selain menggunakan kaedah HLP yang telah dilaksanakan selama dua minggu sesi pembelajaran bermula, pihak sekolah turut menyediakan link (pautan) menerusi WhatsApp untuk memberi sokongan dan membantu ibu bapa dan pelajar untuk lebih memahami apa yang telah disampaikan dalam pembelajaran mereka.

Manakala guru Social Studies, Dayang Wardah binti Haji Mekrat pula menjelaskan, dalam dua minggu pertama sejak pembelajaran kembali dengan menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian ini, SR Pusar Ulak telah mengambil langkah untuk menggunakan HLP untuk menyesuaikan dengan murid-murid sebelum beralih kepada dalam talian.

Strategi ke arah pelaksanaan pembelajaran dalam talian

Beliau seterusnya menambah, ke arah menuju pendidikan sepanjang hayat, pihak sekolah dan pelajar sebelum ini pernah didedahkan dengan penggunaan pembelajaran dalam talian untuk beberapa mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris.

Selain itu, pelajar juga mengikuti Program Read Theory Intensively, yang mana ia sangat bagus untuk membantu dalam pembacaan pelajar di samping membuat beberapa usaha lain untuk membiasakan pelajar dengan pembelajaran dalam talian ini.

Menurut salah seorang guru Tahun 6 sekolah berkenaan, Awangku Alif Wira Putra bin Pengiran Awang yang juga Nurmeracy Local Coach sekolah berkenaan, bagi SR Pusat Ulak, pembelajaran dalam talian akan dilaksanakan pada minggu ketiga, di mana ulang kaji bagi sukatan pelajaran yang telah dipelajari sebelum cuti sekolah yang lepas telah dilaksanakan pada dua minggu sebelum ini.

Bagi SR Pusar Ulak, jelasnya, beberapa usaha telah dilakukan dalam pembelajaran dalam talian ini, di mana nota dan latihan akan dimasukkan ke Google Form untuk kegunaan pelajar.

Menurutnya, membuat dua kaedah pengajaran dengan menggunakan HLP dan dalam talian ini dapat memberi keselesaan kepada pelajar dan ibu bapa juga.

Cabaran e-pembelajaran

Selepas tiga minggu melaksanakan pembelajaran dalam talian ini, pelbagai respons dan interaksi daripada orang ramai khususnya ibu bapa dan para pelajar, selain terdapatnya pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi bersama.

Antaranya ialah kesukaran dalam mendapatkan kemudahan akses Internet, di mana terdapat pelajar yang tidak mempunyai akses kepada Internet secara langsung dan ini merupakan salah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh pihak sekolah.

Ini berbeza semasa di sekolah, di mana pengajaran dalam talian akan lebih mudah dengan adanya kemudahan yang terdapat di sekolah, selain mudah untuk mengakses Internet bagi tujuan pembelajaran.