Cabaran urus jenazah pesakit COVID-19

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Cara mengendalikan jenazah pesakit COVID-19 memang berbeza daripada yang biasa untuk mengelak dijangkiti wabak pandemik dunia tersebut.

Di Negara Brunei Darussalam, memandikan jenazah (pesakit COVID-19) dilakukan dengan yang rukun sahaja iaitu meratakan air di seluruh badan menggunakan semburan air yang sangat sederhana dan niat.

Penggunaan banyak air tidak digalakkan, kerana ia boleh mengakibatkan percikan air ke merata tempat, memandangkan yang dimandikan adalah pesakit covid-19, risiko jangkitan masih tetap ada.

Pengalaman menguruskan jenazah pesakit COVID-19 ber-agama Islam itu dikongsikan oleh salah seorang kakitangan pengurusan jenazah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah yang ditugaskan menguruskan jenazah COVID-19 di negara ini ketika ditemu bual Media Permata, hari ini.

Pekerja Tingkat IV, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Awang Baharuddin bin Bahrum menambah tugas menguruskan jenazah mangsa COVID-19 memerlukan persediaan bukan sahaja dari segi mental tetapi ketahanan fizikal.

Kakitangan pengurusan jenazah pesakit COVID-19 yang lengkap berpakaian PPE bersama anggota PPDB yang turut memberi bantuan.

“Kami perlu mengambil langkah keselamatan untuk diri sendiri seperti menjaga kesihatan dan mengamalkan pengambilan makanan tambahan yang boleh memberikan ketahanan diri seperti pengambilan vitamin C dan makanan berkhasiat.

“Semua petugas juga dipantau dengan rapi oleh pihak hospital. Mereka akan membantu dari aspek pemakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) dengan betul mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan.

“Apa yang paling penting adalah berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, dalam mendepani pelbagai cabaran sebagai pengurus jenazah, lima perkara yang sangat dititikberatkan iaitu memastikan dirinya sentiasa lengkap dengan ilmu, sentiasa berani, tidak jijik, amanah dan ikhlas dalam mencurahkan bakti.

Katanya, sebaik selesai menguruskan jenazah COVID-19, perkara pertama dilakukan adalah terus mandi dan membersihkan diri sebelum pulang ke rumah dengan mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Terdahulu, beliau mengongsikan bahawa tugasan mengurus jenazah COVID-19 di negara ini dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu tiga lelaki yang merangkumi beliau sendiri di samping Bilal Masjid Hassanal Bolkiah Tutong, Awang Hazrin bin Haji Hassan dan Marbut Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Awang Abdul Rahman Haji Tunjang. Sementara itu, satu kumpulan lagi adalah empat orang penggapai perempuan dari Unit Tanah Perkuburan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Awang Baharuddin menjelaskan, setiap kali ada yang meninggal dunia akibat COVID-19, pemandian jena-zah dilakukan di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC), Tutong dengan mengikut fatwa Yang Berhormat Mufti Kerajaan Brunei. Manakala itu, pengebumiannya pula diadakan di tanah perkuburan Islam iaitu di Anduki dan Terunjing.

Menurut beliau, sejak pertama kali memandikan jenazah mangsa COVID-19, kesemua jenazah dalam keadaan baik dan berseri.

Sementara itu, Ketua Unit Pengurusan Jenazah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kementerian Kesihatan, Awang Eleme Hashrah bin Haji Minot ketika ditemui pula berkata, pengurusan jenazah memang sa-ngat sukar untuk dilaksanakan kerana ia harus mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan ia perlu dilaksanakan dengan segera. Menyentuh mengenai tugas-tugas memandikan jenazah, selain memandikan jenazah COVID-19, pengurusan jenazah biasa juga perlu dilaksanakan, dan ini antara satu cabaran pada masa sekarang kerana tenaga kerja untuk melaksanakannya agak kekurangan, namun dengan berbekalkan semangat ia harus juga dilaksanakan.

Katanya lagi, menurunkan jenazah ke liang lahad dan menguburkan jenazah adalah antara salah satu tugas yang memang susah untuk dijelaskan, dengan pemakaian PPE di bawah panas matahari selama lima ke enam jam memang mencabar.

Sebelum jenazah diturunkan, liang lahad juga harus dibersihkan dengan semburan sanitasi dan seterusnya barulah jenazah dimasukkan. Mengenai jenazah pesakit bukan beragama Islam pula, prosedurnya sama, akan tetapi diuruskan oleh pihak yang bukan Islam.

Pemakaian PPE adalah sama dan dipantau oleh pihak-pihak tertentu dan upacara penguburan juga tidak dilengah-lengahkan.

Dalam pada itu, beliau juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang sama-sama memberikan khidmat sepanjang proses pengebumian sejak gelombang pertama sehingga ke hari ini.

Beliau turut memberikan nasihat kepada orang ramai untuk ‘teranah tah di rumah’ dan jangan keluar rumah jika tiada keperluan penting, dan sama-sama memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Beliau turut memohon doa agar kesemua pasukan yang terdiri kumpulan pengurusan jenazah Covid-19 sentiasa dalam lindungan Allah SWT jua.