Cabaran usahawan belia tatkala pandemik

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Gelombang kedua penularan COVID-19 di negara ini yang bermula pada 7 Ogos 2021 yang lepas tidak disangkal lagi telah menjejaskan operasi perniagaan di negara ini termasuk pengusaha kecil-kecilan ekoran langkah-langkah pengawalan ketat yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.

Salah seorang usahawan belia, Dayang Siti Nurasmi binti Mohamad Arifen yang mengusahakan perniagaan makanan Dapobiani turut berkesempatan mengongsikan perjalanan perniagaannya semasa pandemik ini.

Menurutnya, sebelum ini, beliau berniaga di Tamu Kianggeh pada setiap hujung minggu terutama Jumaat dan Ahad yang lazimnya mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung.

Walau bagaimanapun setelah penularan COVID-19 terjadi di negara ini, beliau terpaksa menggunakan kemahiran yang ada dan memanfaatkan penggunaan media sosial sebaik mungkin untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian walaupun sambutannya agak sedikit perlahan memandangkan terdapat sebilangan pelanggan yang masih ragu untuk membuat pembelian secara dalam talian berbanding secara langsung.

“Antara cabaran yang dihadapi semasa penularan COVID-19 ialah kesukaran untuk mendapatkan bekalan barangan dari luar negara yang terhad dijual di pasar-pasar raya tempatan memandangkan meningkatnya permintaan daripada orang ramai.

Dayang Siti Nurasmi, pengusaha perniagaan makanan Dapobiani ketika memperlihatkan salah satu produk jualannya.

“Selain itu, kami juga terpaksa lebih berhati-hati dan mengikuti SOP yang dikenakan apabila singgah ke kedai-kedai bagi mendapatkan barangan keperluan jualan kami,” tambah Dayang Siti Nurasmi lagi.

Beliau turut mengongsikan bahawa mereka sentiasa membuka tempahan kepada orang ramai yang ingin membeli barangan makanan atau minuman daripada mereka dengan turut menawarkan perkhidmatan penghantaran berserta caj mengikut kawasan pembeli selain perkhidmatan ambil sendiri yang sedia ada.

“Saya turut menyeru kepada pelanggan kami untuk menyediakan tempat khusus yang bersesuaian untuk menyimpan barangan tempahan bagi mengelakkan transaksi fizikal semasa proses penghantaran barangan.

“Selain itu, kami juga sangat menghargai dan menggalakkan pembayaran untuk dilakukan secara dalam talian dan seterusnya turut menasihatkan agar peniaga-peniaga lainnya di luar sana agar sentiasa menjaga dan mematuhi SOP bagi keselamatan bersama.

“Bagi peniaga-peniaga yang dikeluarkan Perintah Kuarantin oleh Kementerian Kesihatan atau yang mempunyai kod BruHealth berwarna merah, disarankan agar berhenti dan berehat seketika berniaga sehingga kod mereka menjadi hijau dan pastikan berada dalam keadaan yang sihat bagi mengelakkan penularan COVID-19,” nasihat Dayang Siti Nurasmi.