Cabul: Anggota beruniform dihadapkan ke mahkamah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Seorang anggota beruniform dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan mencabuli kehormatan budak perempuan berusia lapan tahun.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh, Mohammad Asminan bin Tambil, 33, didakwa melakukan perbuatan ‘tidak senonoh’ terhadap mangsa dalam kejadian sekitar Mei 2020 di Jalan Dobi Berakas Kem.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan penjara untuk tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan juga sebatan jika disabit kesalahan.

Dalam sebutan, Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah binti Ahmad membuat permohonan untuk kes tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Perantaraan.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu membenarkan permohonan dan menetapkan 24 Jun 2020 untuk sebutan kes, serta membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak $5,000 atau dua orang penjamin tempatan selain perlu mematuhi beberapa syarat jaminan lain.