Cabul: bapa saudara didakwa

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Seorang bapa saudara berusia 39 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, kelmarin, atas pertuduhan mencabuli kehormatan anak saudara perempuannya.

Tidak ada pengakuan direkodkan daripada lelaki yang namanya tidak dapat didedahkan untuk melindungi identiti mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan ‘tidak senonoh’ tersebut terhadap mangsa yang berusia 17 tahun sekitar Februari 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354B Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri binti Kiprawi memaklumkan mahkamah bahawa kemungkinan ada tiga lagi mangsa lain turut didera secara seksual oleh tertuduh.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman memerintahkan tertuduh ditahan reman untuk membantu siasatan polis.

Kes akan disebut lagi pada 23 Julai 2019.