Cabul: Guru berdepan satu lagi tuduhan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Seorang guru sekolah rendah di Daerah Belait yang sebelum ini berdepan empat pertuduhan mencabul kehormatan tiga muridnya kini berdepan satu lagi tuduhan tambahan.

Pertuduhan baharu menyebut yang guru lelaki berusia 41 tahun itu didakwa mencabul kehormatan seorang lagi anak murid lelakinya yang berusia 10 tahun.

Dia didakwa melakukan perbuatan ‘tidak senonoh’ itu pada 21 Oktober 2019.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hafizah binti Ahmad membuat permohonan di hadapan Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar untuk memberinya masa mendapatkan laporan forensik.

Di bilik mahkamah lain untuk kes sama, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri binti Kiprawi yang mengendalikan kes tertuduh yang terdahulu didakwa atas empat tuduhan cabul terhadap tiga murid lelaki berusia sembilan, 10 dan 11 tahun dalam kejadian sekitar Julai 2019 dan sekitar tahun 2019, turut memohon di hadapan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman untuk diberi lebih masa bagi mendapatkan laporan forensik.

Untuk kesemua pertuduhan, lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 354B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun penjara dan dengan sebatan untuk setiap tuduhan jika didapati bersalah.

Tertuduh diwakili Peguam Haji Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman.

Kedua-dua kes akan disebut lagi dalam dua minggu.