Cabul: Guru didapati tidak bersalah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Seorang lelaki, 45, yang bekerja sebagai guru agama di sebuah sekolah rendah di Daerah Belait, dibebaskan oleh Mahkamah Perantaraan daripada pertuduhan mencabul kehormatan budak perempuan berusia 12 tahun yang merupakan muridnya, kelmarin.

Guru itu menafikan pertuduhan tersebut dan menjalani perbicaraan dengan diwakili seorang peguam.

Pada kejadian yang berlaku dalam sebuah bilik darjah sekolah itu antara Mei dan Jun 2019, guru itu didakwa cuba mencabul kehormatan pelajarnya dengan melakukan perbuatan tidak senonoh.

Pihak pendakwaan memanggil enam saksi bagi menyokong kes mereka, bagaimanapun tiada saksi yang melihat perbuatan tersebut.

Hakim, yang menimbang bukti berdasarkan keterangan budak perempuan itu, percaya perbuatan berlaku daripada keterangan budak perempuan meskipun timbulnya fakta yang tidak konsisten.

Menurut kenyataan polis daripada guru itu yang dikemukakan di mahkamah, dia mengaku melakukan perbuatan ke atas budak perempuan itu selepas ibu tiri budak perempuan, yang juga bekerja di sekolah yang sama, berjumpa dengan guru berkenaan selepas mendapat tahu mengenai kejadian tersebut.

Bukti yang dikemukakan di mahkamah termasuk oleh ibu tiri budak itu menyatakan bahawa anak perempuannya itu sering bertemu dengan guru itu dalam bilik darjah di tingkat tiga.

Ibu tirinya yang tidak senang hati, memaklumkan perkara itu kepada pengetua sekolah menerusi pesanan teks.

Pada pagi 20 Jun, ibu tiri itu ke tingkat tiga sekolah itu dan berjumpa dengan pengetua di luar bilik darjah, namun mendapati bilik itu dikunci dan tingkapnya ditutup dengan kertas.

Mereka menunggu dan akhirnya berjumpa dengan guru berkenaan dan budak perempuan itu, membawa kepada lebih banyak konfrontasi dan akhirnya laporan polis difailkan oleh budak perempuan itu atas desakan ibu tirinya.

Antara keterangan yang diberikan budak perempuan itu ialah dia mengunci bilik darjah atas arahan guru itu.

Berdasarkan kesemua bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati guru agama itu ‘ada melakukan perbuatan berkenaan ter-hadap budak perempuan itu tetapi mendapati mangsa tidak nampak seperti seorang mangsa yang tertakluk kepada kegunaan kekerasan dalam dakwaan kes mencabul kehormatan.

Mahkamah menekankan bahawa meskipun mahkamah mendapati (guru) itu melakukan perbuatan yang didakwa, berdasarkan penilaian keseluruhan kes, mahkamah mendapati kekurangan sokongan keterangan untuk membuktikan (guru) itu menggunakan kekerasan jenayah dalam perbuatan yang didakwa ke atas (kanak-kanak perempuan) itu.

Sebagai kesimpulan, mahkamah mengatakan timbulnya keraguan mengenai kesalahan guru dan dengan itu, mahkamah berasa tidak puas hati dengan kes melampaui keraguan tidak munasabah apabila mendapati defendan tidak bersalah dan membebaskannya.