Cabul: hukuman tertuduh diputuskan hari ini

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin, atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.

Awangku Ibrahim bin Pengiran Badar didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral ke atas remaja lelaki tersebut di dalam sebuah kereta yang diletakkan di Taman Rekreasi Rimba pada 30 November 2019.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri binti Kiprawi mendedahkan kepada mahkamah bahawa kira-kira pukul 5:30 petang, 30 November 2019, tertuduh telah melihat mangsa bersendirian di luar sekolahnya untuk menunggu dijemput oleh bapanya.

Tertuduh kemudiannya menawarkan kepada mangsa untuk menghantarnya ke tempat kerja bapanya dan dipersetujui oleh mangsa yang kemudiannya memasuki kereta tertuduh kerana menyangka bapanya menyuruh tertuduh untuk mengambilnya dari sekolah pada hari tersebut.

Walau bagaimanapun, tertuduh memberhentikan keretanya di kawasan letak kereta Taman Rekreasi Rimba dan mula menyerang mangsa dengan tujuan untuk mencabul kehormatan mangsa dan dalam ketakutan, mangsa secara terpaksa menuruti tindakan tertuduh.

Tidak lama kemudian, tertuduh menghantar mangsa ke tempat kerja bapanya di Rimba di mana mangsa segera memberitahu bapanya mengenai apa yang telah terjadi dan segera membuat laporan polis.

Siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei akhirnya membawa kepada penahanan tertuduh.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu sedang mempertimbangkan hukuman setimpal untuk dijatuhkan ke atas tertuduh dan menetapkan tarikh 20 Julai bagi menjatuhkan hukuman.