Cabul: lelaki dipenjara 3 tahun, sebat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Mahkamah Majistret hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun berserta dua kali sebatan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun atas kesalahan mencabul kehormatan seorang budak lelaki berusia 14 tahun.

Awangku Ibrahim bin Pengiran Badar didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral ke atas budak lelaki tersebut di dalam sebuah kereta yang diletakkan di Taman Rekreasi di Kampung Rimba pada 30 November 2019.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu mengambil kira beberapa faktor di mana tertuduh telah mengaku bersalah dengan serta-merta dan bekerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dijalankan. Walau bagaimanapun mahkamah melihat keperluan hukuman dijatuhkan kepada tertuduh atas kepentingan orang awam.

Faktor yang mengeruhkan lagi kes tersebut, antara lain yang dipertimbangkan oleh mahkamah adalah tertuduh telah berusaha untuk membawa mangsa ke kawasan terpencil dan melakukan perbuatan yang tidak bermoral di dalam kereta berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri binti Kiprawi mendedahkan kepada mahkamah bahawa kira-kira pukul 5:30 petang, 30 November 2019, tertuduh telah melihat mangsa bersendirian di luar sekolahnya untuk menunggu dijemput oleh bapanya.

Tertuduh kemudiannya menawarkan untuk menghantar mangsa ke tempat kerja bapanya dan dipersetujui oleh mangsa yang kemudiannya memasuki kereta tertuduh kerana menyangka bapanya menyuruh tertuduh untuk mengambilnya dari sekolah pada hari tersebut.

Walau bagaimanapun, tertuduh memberhentikan keretanya di kawasan letak kereta taman rekreasi berkenaan dan mula menyerang mangsa dengan tujuan untuk mencabul kehormatan mangsa dan dalam ketakutan, mangsa secara terpaksa menuruti tindakan tertuduh.

Tidak lama kemudian, tertuduh menghantar mangsa ke tempat kerja bapanya di Rimba di mana mangsa segera memberitahu bapanya mengenai apa yang telah terjadi dan segera membuat laporan polis.

Siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei akhirnya membawa kepada pena-hanan tertuduh.