Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Permohonan rayuan seorang lelaki yang ingin mendapatkan pengurangan hukuman penjara bagi kesalahan melakukan cabul terhadap rakan sekerjanya ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Dato Seri Laila Jasa James Kerr Findlay memutuskan untuk memihak kepada keputusan Mahkamah Majistret yang mendapati Dr Joseph Cheok Van Seng, 55, bersalah berdasarkan penemuan fakta kes sepanjang perbicaraan.
Pesalah dijatuhi hukuman setahun penjara oleh Mahkamah Majistret pada March 2018.
Ketika perbicaraan, pihak pendakwaan membuktikan bahawa sekitar Februari 2014, pesalah pergi ke pejabat mangsa untuk menunjukkan fail yang berada dalam pemacu simpanan data mudah alih yang dibawanya, dan juga untuk membincangkan mengenai projek kerja.
Selepas dua jam, mangsa memberitahu pesalah yang dia ingin keluar.
Pesalah kemudian mengikuti mangsa dan menyentuhnya dengan cara ‘tidak sopan’.
Mangsa mengadu kejadian itu kepada rakan sekerjanya yang lain, yang telah menasihatkannya untuk membuat laporan polis.
Ketika dibicarakan, pesalah menafikan melakukan kesalahan itu dan mendakwa yang dia hanya berada di pejabat mangsa untuk membuat salinan fail ke komputer mangsa.
Pesalah mendakwa bahawa mangsa memintanya untuk berada di belakang meja kerja mangsa untuk memudahkan pesalah menunjukkan fail yang ingin disalin.
Selepas membuat salinan fail, pesalah mendakwa yang dia tiba-tiba merasa pening dan hilang keseimbangan badan apabila tersentuh dengan mangsa.
Pesalah mendakwa bahawa sebelum kejadian, dia telah mengambil ubat untuk melegakan sakit otot yang mana kesan sampingannya termasuk hilang keseimbangan badan.
Tertuduh dalam kes ini diwakili Peguam, Haji Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman dan Peguam, Veronica K Rajakanu manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula.