Cabul: Tukang jahit kena penjara, sebat

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Seorang tukang jahit lelaki warga India telah dijatuhi hukuman penjara setahun dan dua sebatan setelah disabit bersalah mencabul kehormatan anak perempuan seorang pelanggan berusia lima tahun ketika mengambil sukatan di kedai jahitnya.

Shahban Alam, 30, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan mangsa dalam kejadian yang berlaku pada Januari 2019.

Selepas perbicaraan di mana mangsa dan saksi-saksi lain memberi keterangan di mahkamah, Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim mendapati defendan bersalah dan menjatuhkan hukuman tersebut.

Dokumen-dokumen mahkamah yang dikeluarkan, menggariskan fakta-fakta kes, menggambarkan bagaimana defendan mengambil kesempatan apabila penjaga mangsa tidak melihat, memegang tangan mangsa untuk menyentuh bahagian sulitnya (defendan) dan defendan juga menggunakan tangannya untuk menyentuh bahagian sulit mangsa.

Kejadian itu hanya disedari penjaga mangsa selepas mangsa memaklumkan mereka di dalam kereta sejurus meninggalkan kedai jahit itu.

Semasa perbicaraan, defendan kekal dengan kenyataannya bahawa dia tidak mencabul mangsa berkenaan dan hanya mengambil ukurannya di hadapan penjaganya.

Defendan mendakwa bahawa penjaga mangsa tidak puas hati dengannya disebabkan perselisihan mengenai tarikh siap dan pengubahsuaian seragam sekolah mangsa.

Pada kesimpulan perbicaraan, majistret tidak mempercayai kenyataan defendan, sebaliknya, mendakwa bahawa mangsa adalah saksi yang boleh dipercayai dan ‘menunjukkan kemurnian hati seorang kanak-kanak yang tidak mempunyai niat atau motif untuk memalsukan kenyataan yang terperinci sedemikian.’

Defendan dalam rayuannya memohon mahkamah bagi hukuman ringan kerana dia menyara keluarga di negara asalnya dan tidak mempunyai rekod jenayah terdahulu.

Bagaimanapun, Majistret Kamaliah Fadhilah mendapati bahawa faktor-faktor memburukkan dalam kes berkenaan, usia muda mangsa dan defendan yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugasnya sebagai tukang jahit yang disalahgunakannya untuk melakukan kesalahan, mengatasi pengurangan yang dipohonkan defendan.

Dalam menjatuhkan hukuman, majistret menekankan bahawa adalah ‘penting untuk melindungi kanak-kanak kecil daripada ketidakadilan serius. Ini merupakan hukuman pencegahan untuk menghalang defendan dan individu-individu yang berfikiran sama daripada melakukan kesalahan serupa.’

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri binti Kiprawi manakala itu, defendan diwakili oleh peguam bela Daud Ismail.