Cabutan KIA pilih 10 pemenang

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Seramai 10 pemenang terpilih dalam cabutan promosi KIA Lucky Drive to Australia yang diadakan hari ini di bilik pameran Grand Motors Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif kenderaan KIA di negara ini.

Hadir untuk melakukan cabutan ialah Pegawai Jualan BIBD At-Tamwil Sdn Bhd, Ang Han Eng.

Promosi itu disertai kira-kira 200 orang pelanggan dari Daerah Brunei dan Muara, dan Belait yang membeli kenderaan KIA dari awal November sehingga pertengahan Disember.

Hadiah utama cabutan menawarkan pakej pelancongan untuk dua orang ke Melbourne, Australia (termasuk tiket pe-nerbangan, makan dan penginapan hotel) untuk menyaksikan perlawanan akhir perseorangan wanita dan lelaki Kejohanan Tenis Terbuka Australia 2020.

Pemenang utama juga akan meneroka dan mengalami budaya Melbourne.

Pemenang kedua dan ketiga pula, masing-masing akan menerima Apple Macbook Pro 13 inci 128GB dan Apple iPhone 11 256GB.

Sementara itu, pemenang keempat hingga ke-10 akan membawa pulang barang niaga Seltos edisi terhad.

Sepuluh pemenang berkenaan akan dihubungi oleh wakil Grand Motors untuk menghadiri cabutan utama pada 18 Disember ini di bilik pameran KIA, Beribi.

KIA telah menyertai Terbuka Australia sebagai penaja utama sejak 2002, dan kini telah membekalkan lebih 100 kenderaan baharu KIA setiap tahun untuk pemanduan selesa pemain tenis dunia, orang kenamaan, pegawai-pegawai dan media.

Ang Han Eng bersama Pengurus Jualan KIA di Grand Motors, Jacqueline Koh ketika memilih cabutan nama para pemenang. – Gambar oleh Rahwani Zahari